Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Setempat0

Kabin khas bagi pengguna tertentu diuji menjelang 2020

May 26, 2019 | 05:30 AM

SATU ujian penggunaan kabin yang memberi keutamaan kepada golongan tertentu akan dimulakan di salah satu laluan MRT menjelang 2020.

Pengumuman tersebut dibuat Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sewaktu pelancaran Pelan Induk Pengangkutan Darat (LTMP) 2040 semalam.

Kabin ini dikhususkan untuk golongan memerlukan seperti warga emas, wanita hamil dan pengguna kerusi roda, walaupun penumpang lain tidak akan dikecualikan daripada menggunakan kabin ini.

LTA belum memberikan perincian mengenai laluan MRT daripada lima laluan tersedia yang bakal digunakan untuk ujian itu.

"Untuk terus membantu orang ramai yang memerlukan mendapat tempat duduk, kami akan memperkenalkan petanda baru yang tertera perkataan 'tolong tawarkan saya tempat duduk'," kata LTA.

Petanda sedemikian boleh didapati di pusat perkhidmatan penumpang di semua laluan MRT dan LRT.

Daya usaha ini selaras dengan matlamat pelan induk bagi menjadikan rangkaian pengangkutan darat Singapura lebih inklusif.

Pada akhir tahun ini contohnya, kesemua stesen MRT akan mempunyai barisan keutamaan untuk warga tua, wanita hamil, pengguna kerusi roda dan ibu bapa yang menggunakan kereta sorong bayi.

Langkah ini kemudian akan diperluaskan kepada semua persimpangan bas dan hab pengangkutan bersepadu menjelang 2021.

Dan menjelang tahun depan, semua bas akan menjadi mesra kerusi roda dan mempunyai tempat sandar bagi kereta sorong bayi.

Langkah lain yang akan diperkenalkan termasuk memasukkan alat 'Braille' dan saiz perkataan yang lebih besar pada petanda di kesemua kemudahan pengangkutan utama.

Dalam pada itu, menjelang 2040, semua bas awam akan menampilkan paparan maklumat penumpang. Paparan maklumat tersebut akan memberi maklumat mengenai empat hentian seterusnya dalam laluan bas berkenaan, serta maklumat mengenai stesen MRT dan LRT berdekatan.

Pengumuman audio juga akan dibuat sebelum bas itu menghampiri perhentian seterusnya.

LTA juga akan bekerjasama dengan agensi lain bagi menjadikan lebih banyak prasarana awam lebih mesra pengguna, antaranya menyediakan lif di jejantas pejalan kaki.

Sejak 2013, kemudahan lif telah dipasang di sebanyak 47 jejantas di sekitar negara, dengan 29 lagi dijangka dibina menjelang 2022.

"Menjelang 2040, matlamat kami adalah memujudkan sistem pengangkutan darat awam yang bersifat mesra dan penyayang, disokong prasarana dan kemudahan yang direka khas dan dikendalikan oleh pengendali pengangkutan yang mempunyai kakitangan terlatih yang dapat membantu memberikan pengalaman perjalanan yang menyeronokkan untuk semua penumpang," kata LTA lagi.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map