KADAR penggunaan keseluruhan unit jagaan rapi (ICU) di Singapura jatuh kepada 62.6 peratus, daripada 63.3 peratus Selasa lalu, kata Kementerian Kesihatan (MOH) kelmarin.
Terdapat 3,474 jangkitan baru Covid-19 di sini kelmarin, meningkat daripada 2,069 Selasa lalu.
Kadar jangkitan mingguan naik daripada 0.88 pada Selasa kepada 0.89 kelmarin. Angka kurang daripada 1.0 bermakna bilangan kes Covid-19 berkurangan.
Kes baru terdiri daripada 3,320 dalam masyarakat, 144 pekerja migran di dormitori dan 10 kes import. Kes dalam masyarakat termasuk 506 pesakit berusia 60 tahun dan ke atas.
Tujuh orang berusia antara 47 dengan 83 tahun maut akibat komplikasi Covid-19. Kesemuanya ada masalah perubatan lain, kata MOH. Jumlah kematian kini 619.
Terdapat 1,468 pesakit di hospital, dengan 242 memerlukan sokongan oksigen di wad umum dan 48 pesakit tidak mantap dan dipantau dengan rapat di ICU.
Seramai 64 pesakit dalam keadaan kritikal di ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan.