Kadar jenayah naik 1.4%, kes penipuan meningkat pada 2018

JUMLAH keseluruhan jenayah naik 1.4 peratus tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Sebanyak 33,134 kes jenayah dilaporkan berlaku tahun lalu berbanding 32,668 kes pada 2017.

Daripada jumlah tersebut, 5,796 kes merupakan kes penipuan.

Ini adalah peningkatan sebanyak 20.6 peratus dalam kes penipuan tahun lalu berbanding 4,805 kes penipuan yang dilaporkan pada 2017.

Sebanyak $158 juta terbabit dalam penipuan yang dilaporkan pada 2018.

Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) semasa membentangkan statistik jenayah tahunan dalam satu sidang media tadi (Rabu, 20 Feb).

Penipuan e-dagang merupakan yang terbesar dengan 2,125 kes dilaporkan pada 2018. Ini merupakan tambahan 218 kes berbanding 1,907 kes penipuan e-dagang yang berlaku pada 2017.

Memandang serius peningkatan dalam jumlah kes penipuan yang berlaku saban tahun, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Komersial SPF, Encik David Chew, berkata:

“Jenayah beredar mengikut pengguna...Sementara Internet membolehkan kita membeli apa sahaja dari mana sahaja pada bila-bila masa, teknologi yang sama membolehkan penjenayah dalam talian melakukan penipuan terhadap mangsa.

“Adalah penting bagi kita semua sedar dan mengetahui tentang perkara sebegini di Internet dan berwaspada agar dapat melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan.”