Kadar kelahiran Singapura mencecah rekod terendah sepanjang 2022, sedang jumlah kematian tahunan mencapai rekod tertinggi sejak 1960.
Angka rasmi yang dikeluarkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menunjukkan penurunan 7.9 peratus dalam bilangan kelahiran hidup, daripada 38,672 pada 2021 kepada 35,605 pada 2022.
Sementara itu, terdapat 26,891 kematian pada 2022, meningkat 10.7 peratus berbanding 24,292 yang dicatatkan pada 2021, demikian menurut Laporan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian. Angka itu adalah jumlah kematian tahunan tertinggi sejak 1960, lapor Lianhe Zaobao.
Laporan itu juga menyatakan wanita semakin berumur sebelum mereka mula mempunyai anak, dengan umur median ibu kali pertama meningkat kepada 31.9 tahun pada 2022, daripada 30.6 pada 2018.
Terdapat perubahan minimum dalam median umur ibu yang melahirkan anak bagi anak kedua dan seterusnya dalam tempoh sama.
Bilangan ibu kali pertama yang mempunyai ijazah universiti meningkat kepada 63.6 peratus, berbanding 58 peratus pada 2017.
Kadar kelahiran Singapura yang merosot dan penduduk yang menua bukan isu baru, dengan pemerintah sedang melaksanakan beberapa langkah untuk mencuba mengurangkan kesannya.
Pada Februari, pemerintah mengumumkan rancangan untuk menyokong mereka yang mempunyai hasrat perkahwinan dan keibubapaan, selepas jumlah kadar kesuburan (TFR) Singapura mencecah paras terendah dalam sejarah pada 1.05 dalam 2022.
Ini termasuk keutamaan lebih tinggi buat keluarga kali pertama yang mempunyai anak, serta pasangan suami isteri yang lebih muda, dalam permohonan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) mereka, termasuk undi tambahan.
Langkah lain termasuk hadiah wang tunai dan geran, serta cuti bapa yang dibayar pemerintah dilanjutkan kepada empat minggu.
Mengulas mengenai penurunan TFR itu, ahli sosiologi Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Tan Ern Ser, menyatakan faktor yang berkemungkinan besar termasuk kanak-kanak yang semakin tidak dilihat sebagai sebahagian perancangan persaraan, manakala kos untuk membesarkan mereka telah meningkat dalam keadaan ‘Vuca’ (berubah-ubah, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan) dunia yang semakin meningkat.
Semakin banyak sumber diperlukan untuk membesarkan anak dan itu juga menjadi kekangan kepada jumlah anak yang mampu dimiliki pasangan, katanya.
Beliau menambah bahawa Covid-19 juga mungkin menjadi faktor kerana kesannya terhadap pekerjaan dan ketidakpastian pendapatan, serta dalam mengukuhkan tanggapan dunia ‘Vuca’ yang semakin meningkat.