Dari hari ke hari, lebih ramai orang Melayu merokok berbanding kaum lain walaupun terdapat kemerosotan umum dalam kalangan rakyat Singapura yang mempunyai tabiat itu, dari 10.6 peratus pada 2019 kepada 9.2 peratus pada 2022.
Terdapat juga trend menurun yang signifikan dalam kalangan dewasa muda berusia 18 hingga 39 tahun pada 2022, menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NHPS) yang dikeluarkan pada Rabu.
Menurut NHPS, dalam kalangan rakyat Singapura yang berusia 18 hingga 74 tahun, peratusan bagi orang Melayu merokok lebih tinggi (19.5 peratus) berbanding kaum Cina (7.9 peratus) dan India (5.9 peratus).
Dalam kalangan masyarakat Melayu pula, orang lelaki lebih kerap merokok setiap hari (32.4 peratus) berbanding wanita Melayu (6.7 peratus).
Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) menyatakan bahawa trend merokok secara harian ditentukan oleh bilangan rokok yang dihisap setiap hari.
Purata bilangan rokok yang dihisap sehari dalam kalangan perokok ialah 12 batang rokok.
Secara purata, orang lelaki menghisap rokok lebih banyak setiap hari (13 batang rokok) berbanding wanita yang merokok (9 batang rokok).
Menurut laporan NHPS, kira-kira separuh (48.6 peratus) daripada perokok yang menghisap rokok setiap hari mempunyai niat untuk berhenti merokok. Namun, hanya 14.4 peratus daripada mereka merancang berhenti merokok dalam tempoh 12 bulan akan datang atau kurang.
Dalam kenyataan itu, HPB melaksanakan strategi pelbagai serampang bagi menggalak gaya hidup bebas nikotin dalam kalangan masyarakat Singapura. Pendekatan itu termasuk dasar dan perundangan baru-baru ini serta mengadakan pendidikan.
“HPB akan terus mendidik orang ramai tentang kepentingan dan faedah menjalani gaya hidup bebas nikotin. Pemberhentian merokok kebangsaan HPB program, I Quit, juga merupakan salah satu cara kami menyokong perokok dalam usaha berhenti tabiat merokok.
“MOH akan meningkatkan perkhidmatan berhenti merokok pesakit luar, dan menyediakan pencegahan untuk berhenti merokok kepada pesakit dalam hospital. Terapi penggantian nikotin yang bersubsidi telah disediakan di institusi penjagaan kesihatan awam sejak Februari 2023,” ujar HPB.