Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KHIDMAT BELI DAHULU, BAYAR KEMUDIAN

Kaedah bayar ansuran tanpa faedah cetus keprihatinan Case

Tarikannya termasuk sistem kumpul mata dengan ganjaran baucar dan diskaun tambahan, selain mudah diakses
Jul 02, 2022 | 05:30 AM



KHIDMAT beli dahulu, bayar kemudian (BNPL) memberi kemudahan kepada pengguna untuk membuat bayaran secara ansuran apabila mereka berbelanja di kedai atau dalam talian.



Bagaimanapun, terdapat keprihatinan kemudahan sedemikian boleh menyebabkan pengguna terlebih berbelanja di luar kemampuan mereka dan terperangkap dalam situasi hutang jika mereka tidak berhati-hati, kata beberapa pengguna kepada Berita Harian (BH).



Namun, beberapa penyedia khidmat BNPL memberitahu BH mereka punya perlindungan mencukupi untuk menghindari pengguna daripada berbelanja lebih selain menggalak pengguna agar berbelanja secara bertanggungjawab.



Khidmat BNPL merupakan kaedah pembayaran yang membolehkan pengguna membahagikan pembelian mereka secara ansuran dalam tempoh yang singkat tanpa dikenakan sebarang bayaran yuran.



Contohnya, jika seorang individu berbelanja bagi barang yang berharga $300, beliau tidak perlu membayar jumlah keseluruhan itu sekali gus tetapi boleh membayarnya secara ansuran - $100 setiap bulan selama tiga bulan.



Cik Nur Ashikin Mahmood, 35 tahun, berkongsi bahawa khidmat PayLater yang ditawarkan Grab merupakan satu kaedah yang membolehkan beliau membeli barang dalam keadaan yang diperlukan tetapi tidak tersenarai dalam bajet bulanannya.



Namun, pakar teknologi perubatan itu berkata ada kemungkinan khidmat BNPL boleh menyebabkan pengguna terlebih berbelanja di luar kemampuan mereka.



"Oleh itu, saya pastikan yang saya tidak menggunakan PayLater melainkan benar-benar perlu, seperti jika bajet saya ketat pada bulan itu," kata beliau.



Encik Muhammad Haris Johari, 30 tahun, pula menekankan kepentingan bagi pengguna berdisiplin dalam perbelanjaan mereka dan memantau dengan dekat setiap pembelian yang dilakukan jika mereka menggunakan khidmat BNPL.



"Oleh itu, saya pantau semua transaksi yang dibuat melalui Atome (salah satu syarikat penyedia khidmat BNPL), terutamanya bagi barang harga mahal," kata beliau.



Keprihatinan mengenai pengguna terlebih berbelanja berhubung khidmat BNPL telah diluahkan presiden Persatuan Pengguna Singapura (Case), Encik Melvin Yong, dalam satu catatan blog di laman Case bulan lalu.



Menjawab pertanyaan BH, Encik Yong berkata laporan syarikat tinjauan dan penyelidikan Milieu pada tahun lalu menunjukkan hampir seperlima rakyat Singapura berusia 16 tahun dan ke atas pernah menggunakan khidmat BNPL, sambil menambah khidmat sedemikian menarik kerana ia mudah diakses dan digunakan selain tiada bayaran faedah.



Beberapa pengguna berkata antara ciri menarik yang ditawarkan syarikat penyedia khidmat BNPL adalah terdapatnya sistem bagi mereka mengumpulkan mata, yang kemudiannya boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan lain pada masa depan, dan juga baucar dan diskaun tambahan yang ditawarkan.



Contohnya, Encik Muhammad Nazir Hashim berkata syarikat Atome mempunyai sistem di mana pengguna boleh mengumpulkan mata pada akaun Atome mereka setiap kali mereka berbelanja.



"Misalnya, kalau harga barang itu $30, saya dapat kumpul 30 mata pada akaun Atome. Mata yang dikumpulkan pada akaun Atome itu boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan di kedai lain yang juga menggunakan khidmat Atome pada masa lain," kata jurutera berusia 28 tahun itu.



Dalam usaha memperkukuh perlindungan bagi pengguna terhadap khidmat BNPL di Singapura, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) kini sedang bekerjasama dengan Persatuan Teknologi Kewangan Singapura untuk memperkenalkan tatalaku bagi urus niaga BNPL.



Pengguna seperti Encik Mohamad Hafiz Jumahat, 23 tahun, berkata beliau rasa lega terdapat usaha seperti itu.



"Saya mempunyai rakan yang menggunakan beberapa platform BNPL tetapi mereka tidak dapat membayar tepat pada masanya.



"Akibatnya, mereka dikenakan denda pembayaran lewat, yang menyebabkan mereka berhutang," kata anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) itu.



Grab, yang menyediakan khidmat BNPL dipanggil PayLater, memberitahu BH bahawa mereka telah melaksanakan pelbagai perlindungan untuk pengguna.



Ini termasuk menawarkan PayLater hanya kepada pengguna yang telah menggunakan khidmat Grab lain sebelum ini, yang bermakna mereka dapat menilai keupayaan pengguna untuk berbelanja dan membayar.



Ketua Pembayaran dan Platform, DBS Singapore, Encik Anthony Seow, pula berkata pelanggan yang menggunakan Pelan Pembayaran DBS, iaitu tawaran BNPL mereka, boleh berbelanja hanya sehingga had yang ditetapkan bagi kad kredit mereka.



Encik Yong berkata pengguna harus menilai keadaan kewangan mereka dan memastikan mereka dapat membayar bayaran ansuran bulanan sebelum membuat pembelian BNPL.



"Mereka harus mengelak daripada mendaftar untuk beberapa perjanjian pembelian BNPL jika mereka tidak mampu membayar bayaran bulanannya," kata beliau. - LAPORAN TAMBAHAN LUQMANUL HAKIM ISMAIL




"Pengguna harus memahami dengan jelas peraturan dan syarat sebelum menandatangani perjanjian BNPL.

Mereka harus tahu tentang yuran jika lewat membayar dan hutang terkumpul sekiranya mereka tidak dapat melangsaikan bayaran ansuran…

Pengguna harus menilai keadaan kewangan mereka dan memastikan mereka dapat membayar bayaran ansuran bulanan sebelum membuat pembelian BNPL.

Mereka harus mengelak daripada mendaftar untuk beberapa perjanjian pembelian BNPL jika mereka tidak mampu membayar bayaran bulanannya."

- Pesiden Persatuan Pengguna Singapura (Case), Encik Melvin Yong




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >