Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PANEL PENASIHAT ANTARABANGSA (IAP) MENGENAI HAB UDARA MAMPAN

Kajian pasang panel suria, jadikan Changi hab udara mampan

Sep 24, 2022 | 05:30 AM



KAJIAN akan dijalankan untuk meneliti pemasangan panel suria di kawasan landasan terbang pesawat, dan meningkatkan penggunaan elektrik boleh diperbaharui di Lapangan Terbang Changi sebagai sebahagian usaha menjadikan hab udara Singapura mampan.



Usaha juga akan dijalankan untuk mengkaji potensi mewujudkan kemudahan sisa-kepada-tenaga di lapangan terbang, dan membangunkan peta hala tuju untuk mencipta ekosistem bekalan bahan api penerbangan mampan yang terjamin untuk jangka panjang.



Ini adalah antara 15 saranan yang dikemukakan dalam laporan Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) mengenai Hab Udara Mampan yang dikeluarkan semalam.



Laporan itu telah diserahkan kepada Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, bagi penelitian lanjut oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).



Usaha S'pura bangun hab udara mampan



Laporan itu memberi butiran mengenai daya usaha utama dalam tiga bidang penerbangan - lapangan terbang, syarikat penerbangan dan pengurusan lalu lintas udara - yang boleh dilakukan Singapura untuk menyahkarbonkan sektor penerbangan.



Dipengerusikan Presiden Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) Profesor Chong Tow Chong, panel itu dibentuk pada Februari lalu dan menyatukan 20 rakan industri, teknologi dan pengetahuan dari Singapura dan luar negara untuk membincangkan cara menjadikan penerbangan antarabangsa lebih mampan dan boleh diakses semua serta cara negara ini boleh menyumbang kepada usaha itu.



Profesor Chong berkata usaha menangani isu perubahan iklim dalam sektor penerbangan adalah sangat mendesak kerana sebarang perubahan dalam cuaca, contohnya, boleh menjejas prasarana lapangan terbang dan rancangan pengurusan lalu lintas udara.



"Adalah tepat pada masanya bagi Singapura sebagai hab serantau dan malah hab penerbangan global untuk menangani isu ini dengan segera. Pembentukan IAP itu tepat pada masanya, dan kami dapat mengumpulkan peserta yang sesuai, bukan hanya rakan tempatan, namun juga antarabangsa dari badan dan industri penerbangan serta rakan pengetahuan.



"Oleh itu, saranan ini akan menjadi amat penting bagi aspirasi dan tujuan kami dalam menjadi hab udara mampan," kata beliau.



Terdapat enam daya usaha yang dikemukakan di bawah bidang lapangan terbang untuk mempertingkat kemampanan di Lapangan Terbang Changi dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan kecekapan tenaga dan sumber.



Ini termasuk memasang panel suria di sekitar kawasan landasan pesawat dan mempertingkatkan lagi kecekapan tenaga sistem hawa dingin melalui teknologi dan konsep reka bentuk yang inovatif.



Misalnya, tingkap bangunan terminal hari ini mempunyai lapisan suria yang dapat mengurangkan kehilangan kuasa kesejukan. Dengan cara ini, suasana dalam bangunan terus rasa sejuk dan penggunaan tenaga dapat dikurangkan.



Sebahagian besar, atau sekitar 60 peratus, penggunaan tenaga di terminal digunakan bagi menguasai sistem hawa dingin hari ini.



Di bawah bidang syarikat penerbangan pula, panel itu mengemukakan lima daya usaha, termasuk melabur dalam bahan api penerbangan mampan yang merangkumi pembentukan ekosistem untuk menjadikan bahan api alternatif lebih hijau itu berdaya maju.



Saranan lain termasuk mengenal pasti dan mencari sumber bahan mentah bagi menghasilkan bahan api alternatif itu di rantau ini, dan membentuk Kelab Pembeli Korporat Singapura/Asean untuk mewujudkan isyarat permintaan kukuh bagi bahan api penerbangan mampan.



Baki saranan tertumpu pada usaha memanfaatkan secara berkesan prosedur pengurusan lalu lintas udara dan memajukan konsep operasi baru dengan kerjasama rakan dan pihak berkepentingan serantau.



Ini seperti membina usaha sedia ada untuk mempertingkat penyelarasan dan pengurusan penerbangan jarak jauh.



Selain 15 saranan itu, panel tersebut juga menyarankan pembangunan empat pendaya usaha bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut.



Ini termasuk dalam dasar dan peraturan, pembangunan industri, perancangan dan peruntukan prasarana dan transformasi tenaga kerja.



Encik Iswaran berkata pemerintah akan mengkaji saranan tersebut dan menggabungkannya ke dalam pembangunan Pelan Induk Hab Udara Mampan, yang akan diterbitkan tahun depan.



"Saya gembira panel tersebut dapat mengumpulkan idea melalui penyertaan aktif pelbagai pihak berkepentingan, dan menumpu pada satu set 15 inisiatif yang boleh membantu membangunkan Singapura sebagai hab udara mampan.



"Sektor penerbangan Singapura akan memainkan peranan kita dan menyumbang kepada penyahkarbonan penerbangan global," kata Encik Iswaran.




"Saya gembira panel tersebut dapat mengumpulkan idea melalui penyertaan aktif pelbagai pihak berkepentingan, dan menumpu pada satu set 15 inisiatif yang boleh membantu membangunkan Singapura sebagai hab udara mampan. Sektor penerbangan Singapura akan memainkan peranan kita dan menyumbang kepada penyahkarbonan penerbangan global."
- Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >