Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kajian: Pendapatan per kapita terendah bagi keluarga bapa S'pura dan ibu kelahiran asing

Jan 19, 2021 | 05:30 AM



KAJIAN baru mengenai keluarga dengan pasangan warga asing di sini mendapati bahawa keluarga dengan suami kelahiran Singapura dan isteri dilahirkan di luar negara mempunyai pendapatan keluarga per kapita terendah serta tahap konflik keluarga yang tertinggi, berbanding keluarga lain.



Keluarga lain dalam kajian itu termasuk ibu bapa yang dilahirkan di Singapura, ibu bapa yang dilahirkan di luar negara serta bapa dilahirkan luar negara dan ibu kelahiran Singapura.



Kajian tersebut dijalankan Pusat bagi Penyelidikan Keluarga dan Penduduk di Universiti Nasional Singapura, lapor The Straits Times.



Kajian tersebut bertujuan meninjau kehidupan keluarga 'rentas negara', dan bagaimana anak mereka membesar berbanding keluarga lain yang di Singapura.



Keluarga 'rentas negara' dalam kajian itu merujuk kepada individu yang dilahirkan di Singapura dan telah berkahwin bersama seseorang yang dilahirkan di negara lain.



Ini merupakan kajian nasional berskala besar pertama yang mengkaji keluarga rentas negara secara terperinci dan penemuannya mewakili populasi penduduk Singapura, kata penyelidik Profesor Jean Yeung, pengarah pengasas Pusat bagi Penyelidikan Keluarga dan Penduduk.



Lebih daripada satu pertiga, atau 37 peratus, perkahwinan melibatkan warga yang didaftar di sini pada 2019 adalah rentas negara, menurut Laporan Ringkas Penduduk 2020.



Kajian Profesor Yeung ini merupakan sebahagian daripada kajian yang lebih besar, iaitu Kajian Jangka Panjang Pembangunan Awal Singapura, yang dibiayai oleh Kementerian Pendidikan.



Kajiannya melibatkan temu ramah dengan seramai 3,121 ibu yang merupakan penjaga utama bagi anak-anak warga Singapura yang berusia hingga enam tahun, pada 2018 dan 2019. Temu ramahnya dijalankan secara bersemuka.



Dalam kajian itu, paling ramai ibu warga asing berasal dari China, Malaysia dan Vietnam.



Kajian tersebut juga telah menemui beberapa ciri-ciri bagi keluarga dengan suami kelahiran Singapura dan isteri kelahiran negara asing.



Profesor Yeung berkata terdapat perbezaan yang kecil tetapi ketara bagi tahap konflik yang dialami dalam keluarga dengan ibu kelahiran di luar negara dan bapa kelahiran Singapura, berbanding dengan keluarga yang lain.



Beliau menyatakan bahawa masalah kewangan dan cabaran untuk memenuhi keperluan keluarga sering menyebabkan konflik keluarga dan kajian ini mendapati bahawa tahap konflik keluarga berkaitan dengan pendapatan keluarga.



"Selain itu, kebiasaan budaya dan ibu bapa membesar di negara yang berlainan juga boleh menyebabkan kegeseran," tambahnya.



Sekitar satu pertiga ibu yang dilahirkan di luar negara mempunyai pendidikan universiti atau pendidikan tinggi. Ini menghapus stereotaip bahawa pengantin asing mempunyai pendidikan yang rendah, kata Prof Yeung.



Satu lagi penemuan kajian itu ialah 55 peratus isteri kelahiran di luar negara telah mendapat pas penduduk tempatan, dan 26 peratus telah menjadi warga Singapura setelah rata-rata lapan tahun berkahwin.



Namun, 17 peratus daripada mereka memegang pas lawatan jangka panjang.




''Terdapat perbezaan yang kecil tetapi ketara bagi tahap konflik yang dialami dalam keluarga dengan ibu kelahiran di luar negara dan bapa kelahiran Singapura, berbanding dengan keluarga yang lain. Masalah kewangan dan cabaran untuk memenuhi keperluan keluarga sering menyebabkan konflik keluarga dan kajian ini mendapati bahawa tahap konflik keluarga berkaitan dengan pendapatan keluarga. Selain itu, kebiasaan budaya dan ibu bapa membesar di negara yang berlainan juga boleh menyebabkan kegeseran.''
- Profesor Jean Yeung, pengarah pengasas Pusat bagi Penyelidikan Keluarga dan Penduduk




KAJIAN KELUARGA RENTAS NEGARA



NEGARA ASAL IBU WARGA ASING



- China 26%, Malaysia 25%, Vietnam 14%, Indonesia 11%, Filipina 7%, Thailand 6%, negara lain 12%*



*Angka tidak berjumlah 100 peratus disebabkan anggaran.



PENDAPATAN BULANAN PER KAPITA KELUARGA



Kedua-dua ibu bapa warga Singapura



• $2,611



Bapa dilahirkan di Singapura, isteri dari luar negara



• $1,709



Bapa dilahirkan di luar negara, isteri kelahiran Singapura



• $3,062



Kedua-dua ibu bapa dilahirkan di luar negara



• $2,725




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >