HAMPIR setahun lalu, penyanyi dangdut setempat yang mencipta nama di Indonesia, Rosalina Musa, menghadapi risiko lumpuh seluruh badan apabila menghidap penyakit saraf yang kritikal.
Setelah menjalani pembedahan pada Ramadan lalu, pengulas rancangan realiti Dangdut Akademi Asia (DAA) itu terpaksa berkerusi roda.
Mujur, beliau kini beransur pulih meskipun jalannya masih perlahan dan bertatih, dan beliau masih melalui rawatan terapi.
Namun, selama dalam rawatan, beliau sempat menghasilkan beberapa single baru termasuk My Baby Pilihan Hatiku.
Rosalina, yang mesra dengan panggilan 'Kak Ros', menceritakan pengalaman beliau itu dalam rancangan dalam talian The BM Show yang dihos penolong kepada editor Berita Harian/Berita Minggu, Cik Hanim Mohd Saleh.
Dalam rancangan itu, Rosalina turut mengulas tentang peranannya dalam DAA di mana beliau sering ditampilkan sebagai pengulas yang cengeng, dan sama ada 'drama-drama' yang berlaku antara beliau dengan juri-juri lain memang dirancang atau berlaku secara tidak sengaja.
Episod itu telah disiarkan kelmarin di Facebook dan Instagram BeritaHarian.sg, dan penonton masih boleh menontonnya dalam wadah media sosial tersebut.
Selain temu ramah dengan Rosalina, episod The BM Show kali ini juga memaparkan wawancara dengan Presiden Halimah Yacob sempena Hari Wanita Antarabangsa.
Laporan penuh: