Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Selamat Hari Raya Aidilfitri

'Kakak, abang pos' pengubat rindu posmen M'sia yang tidak pulang beraya

Ramadan yang baru meninggalkan kita merupakan pemangkin bagi pelbagai kebaikan yang dipamerkan oleh segenap lapisan kemanusiaan. Sepanjang sebulan lalu, masyarakat telah melihat kemurnian semangat insan yang gigih menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Tidak kiralah sama ada pertubuhan besar, badan-badan masyarakat mahupun individu, semua menyerlahkan semangat saling membantu. Sempena Lebaran ini, BERITA HARIAN (BH) meninjau segelintir usaha sedemikian dalam beberapa halaman berikut.
May 13, 2021 | 05:30 AM



SUDAH dua tahun berturut-turut sekatan perjalanan Covid-19 menyebabkan pekerja Malaysia 'terkandas' di Singapura dan tidak dapat pulang ke tanah air untuk menyambut Hari Raya.



Ini yang mendorong tiga pekerja SingPost - Cik Siti Sarah Karim, 55 tahun, Cik Surati Kamat, 45 tahun, dan Encik Mohd Haslan Shafie, 41 tahun - untuk menitipkan keceriaan sambutan Aidilfitri kepada sekitar 15 pekerja Malaysia SingPost dengan memasak untuk mereka Syawal ini.



Malah, 'kakak-kakak' dan 'abang' pos ini pada tahun lalu sudahpun bergilir-gilir untuk memasak juadah raya buat pekerja Malaysia bagi tiga hari pertama Raya.



Tahun ini, mereka melakukan yang sama.



Encik Haslan yang akan menyediakan hidangan lodeh, sambal udang dan lontong bagi hari pertama Syawal sebenarnya merupakan warga Malaysia juga.



Sejak bernikah dengan seorang warga Singapura tujuh tahun lalu, beliau menetap di sini.



"Saya pun orang Malaysia, saya tahu perasaan apabila kita merantau, kita nak makan makanan yang sedap-sedap...jadi sebagai kawan, kita ingin sokong rakan-rakan. Saya faham perasaan mereka," ujar posmen itu yang juga tidak dapat pulang berjumpa ayahnya yang tinggal di Kedah, selama dua tahun.



Menurutnya, isteri beliau dan ibu mertuanya yang bantu untuk menyiapkan juadah bagi pekerja Malaysia itu. Malah, kuih raya seperti kuih tat, biskut cornflake telah diketepikan untuk santapan pekerja-pekerja ini.



Sepanjang bulan Ramadan, Encik Haslan dengan bantuan isteri serta ibu mertuanya, telah menyediakan juadah berbuka puasa bagi pekerja Malaysia di tempat kerjanya di pangkalan daerah Jurong SingPost dari Isnin hingga Jumaat.



"Sejauh ini, mereka nampak gembira. Maklumlah makanan yang dimasak sendiri lain rasanya daripada makanan yang dibeli dari luar," tambah ayah seorang anak itu.



Pada hari kedua Hari Raya, giliran Cik Surati yang akan membawa lauk raya seperti rendang ke tempat kerja memandangkan ia hari bekerja.



Sementara itu, Cik Siti Sarah pula akan memasak Nasi Ayam Penyet sebagai menu hari ketiga yang akan diambil oleh pekerja Malaysia dari rumahnya di Bukit Gombak.



Menceritakan tentang hubungannya dengan pekerja-pekerja Malaysia ini, Cik Surati berkata beliau sudah menganggap pekerja-pekerja Malaysia ini "macam adik-beradik" beliau.



Disebabkan Covid-19, mereka bertambah rapat antara satu sama lain dan menurutnya, ramai di antara pekerja Malaysia ini terjejas dari segi emosi kerana rindu dengan keluarga.



"Saya berbual dengan mereka, yang mana termampu. Saya macam kakak, rapat dengan mereka.



"Apa yang keluarga saya makan di rumah, itulah yang kami beri kepada mereka," ujar posmen itu yang juga merupakan ibu tiga orang anak.



Cik Siti Sarah, seorang pegawai pos, menambah bahawa usaha ini mendapat sokongan daripada keluarganya.



Masakan mereka, menurut ibu tiga anak itu, bukan disediakan hanya untuk pekerja Malaysia beragama Islam sahaja tetapi juga mereka yang berbangsa lain, memandangkan mereka semua dalam keadaan yang sama iaitu tidak dapat pulang ke Malaysia.



Beliau berkata: "Kami kasihan terhadap mereka kerana mereka tidak dapat pulang beraya. Tentunya setiap orang ingin rasakan suasana Hari Raya, justeru kami tidak mahu singkirkan mereka.



"Saya pun ikut sedih melihat mereka tidak dapat pulang. Saya harap keadaan akan kembali reda supaya mereka dapat kembali berulang-alik antara Singapura dengan Malaysia."




Bawa ceria menjelang Syawal



"Saya pun orang Malaysia, saya tahu perasaan apabila kita merantau, kita nak makan makanan yang sedap-sedap...jadi sebagai kawan, kita ingin sokong rakan-rakan. Saya faham perasaan mereka."
- Encik Mohd Haslan Shafie, yang juga tidak dapat pulang berjumpa ayahnya yang tinggal di Kedah, selama dua tahun.



"Saya berbual dengan mereka, yang mana termampu. Saya macam kakak, rapat dengan mereka. Apa yang keluarga saya makan di rumah, itulah yang kami beri kepada mereka."
- Cik Surati Kamat, 45 tahun yang juga merupakan ibu tiga orang anak.



"Kami kasihan terhadap mereka kerana mereka tidak dapat pulang beraya. Tentunya setiap orang ingin rasakan suasana Hari Raya, justeru kami tidak mahu singkirkan mereka. Saya pun ikut sedih melihat mereka tidak dapat pulang. Saya harap keadaan akan kembali reda supaya mereka dapat kembali berulang-alik antara Singapura dengan Malaysia."
- Cik Siti Sarah Karim, 55 tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >