Kakak ipar pelakon George Clooney didakwa pandu mabuk di S’pura

KAKAK ipar pelakon filem Hollywood George Clooney didakwa memandu dalam keadaan mabuk di Singapura. 

Tala Alamuddin Le Tallec, 47 tahun, ditahan dengan 95 mikrogram alkohol dalam 100 milimeter nafas semasa memandu sepanjang Holland Road sekitar 2.30 pagi pada 14 Mei tahun ini. 

Jumlah tersebut tiga kali jumlah yang dibolehkan, iaitu 35 mikrogram alkohol dalam 100 milimeter nafas. 

Le Tallec, seorang penduduk tetap di Singapura, merupakan kakak kepada Amal Clooney, peguam hak asasi manusia. 

Le Tallec turut hadir di mahkamah semalam atas dakwaan memandu kereta tanpa lesen memandu Kelas 3 Singapura, memandu tanpa insurans dan menggunakan kereta tanpa izin pemiliknya. 

Identiti pemilik kenderaan tersebut tidak didedahkan di mahkamah. 

Menurut dokumen mahkamah, Le Tallec pernah ditangkap kerana memandu dalam keadaan mabuk di Singapura sebelum ini pada 15 April 2013. 

Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga setahun dan disaman antara $3,000 hingga $10,000, manakala tempoh hukuman penjara maksimum bagi pesalah baru adalah enam bulan.