SEORANG kakitangan awam berusia 51 tahun akan didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana menyampaikan maklumat secara tidak wajar mengenai pembukaan semula tempoh pasca pemutus rantaian jangkitan Covid-19 di Singapura.
Lelaki itu yang dibenarkan menerima maklumat berkenaan dikatakan telah berkongsi perihal itu menerusi WhatsApp pada 11 Jun tahun lalu, jelas polis dalam kenyataannya pada Selasa (18 Mei).
Keterangan yang dikongsi adalah berkenaan penyambungan semula kegiatan pada fasa kedua pembukaan semula negara ini.
Polis menambah maklumat itu kemudian telah disebarkan anggota dalam kumpulan sembang WhatsApp itu sehinggakan ia tersebar secara meluas sebelum ia sepatutnya didedahkan kepada umum.
Enam individu yng telah menerima maklumat berkenaan secara tidak wajar dan kemudian berkongsinya dengan pihak lain akan diberi amaran tegas.
Pihak berkuasa mengambil serius sebarang pelanggaran OSA, tambah polis.
Mereka yang didapati bersalah boleh didenda hingga $2,000 atau dipenjara hingga dua tahun.
"Penerima maklumat sebegini yang tidak sepatutnya mendapat butiran berkenaan harus membuang sahaja pesanan yang diterima dan tidak menyebarkan sebarang maklumat rahsia yang diterima kerana mereka juga mungkin sama-sama dipertanggungjawabkan sebagai melanggar OSA," tambah polis.