DISELUBUNGI kemelut koronavirus, ramai yang bimbang dan memencilkan diri.
Ada yang mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan orang lain dengan memborong pelitup dan bekalan keperluan asas seperti beras, mi segera dan kertas tandas sehingga rak-rak di pasar raya kontang.
Namun di tengah-tengah kebimbangan itu, terdapat golongan yang cekal dan tabah meneruskan tugas walau dibayangi bahaya terjangkit kuman koronavirus.
Mereka - termasuk doktor dan jururawat, pemandu teksi dan kereta sewa, pegawai keselamatan, dan mereka yang bersedia menghulurkan tenaga sukarela mengagihkan barang keperluan dan bekalan kepada golongan yang memerlukan - terus menggalas tugas di barisan hadapan.
Mereka menjadi contoh bahawa dalam apa jua keadaan, kehidupan mesti diteruskan, tugas mesti dilaksanakan dan orang yang berhak diberi keutamaan.
Mereka tidak wajar dipinggir atau disisihkan.
Sebaliknya, mereka boleh dianggap wira dan srikandi yang harus dihormati dan dihargai.