Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Kamus Melayu-Inggeris antara 'peninggalan' tahanan askar Jepun di kem penjara Changi

Muzium dan Gereja Kecil Changi (CCM) diberi nafas baru; pamer pelbagai artifak peribadi sumbangan keluarga bekas tahanan
May 19, 2021 | 05:30 AM



DALAM kalangan lebih 50,000 tawanan perang (POW) dan orang awam yang ditahan di kem penjara Changi semasa Pendudukan Jepun dahulu, seorang atau beberapa orang daripada mereka berminat untuk belajar bahasa Melayu.



Ini mungkin dapat dibuktikan dengan penemuan sebuah kamus Melayu-Inggeris milik seorang tahanan yang identitinya tidak diketahui.



Kamus tersebut lengkap dengan fonetik untuk mengajar cara bagi menyebut perkataan Melayu, dan mempunyai catatan nota menandakan mungkin ia dilakukan dalam sebuah kelas bahasa yang berstruktur.



Kamus Melayu-Inggeris itu satu-satunya artifak yang mempunyai elemen Melayu daripada 114 artifak - 82 daripadanya baru - yang dipamerkan di Muzium dan Gereja Kecil Changi (CCM) di Upper Changi Road North.



Artifak lain termasuk diari 400 muka surat yang tidak pernah dilihat sebelum ini, menu makan malam dan berus gigi yang diperbuat daripada buluh dan sabut kelapa.



Muzium yang sebelum ini ditutup pada 2018 telah diberi nafas baru dan dibuka semula hari ini.



Ia mempunyai lapan galeri antara lain memaparkan kehidupan seharian para tahanan yang dipenjara di Changi selepas Singapura ditakluki Jepun semasa Perang Dunia Kedua; respons mereka terhadap cabaran kehidupan dalam kem tahanan; dan detik pembebasan yang dinikmati mereka selepas Jepun menyerah kalah.



Artifak menarik lain yang dipamerkan termasuk cawan dan piring kecil yang digunakan pegawai tentera Jepun di penjara Changi. Ia dipinjamkan daripada anak, keluarga dan rakan Tawanan Perang Timur Jauh.



Terdapat juga kamera Kodak Baby Brownie milik Sarjan John Ritchie Johnston yang diberikan oleh isterinya. Sarjan Johnston berjaya menyembunyikan kamera tersebut sepanjang penahanannya.



Muzium tersebut juga mempamerkan alat menghantar mesej menggunakan kod Morse yang disembunyikan dalam kotak mancis, dan sebuah peta Semenanjung Melayu Angkatan Tentera Udara Diraja (RAF) milik juruterbang George Dudley Binsted.



Peta yang disimpan Binsted sepanjang penahanannya itu dipercayai mempunyai laluan menyelamatkan diri yang dirancangnya. Ia dihadiahkan keluarga Binsted dan merupakan koleksi Muzium Negara Singapura.



Pengarah Muzium Negara Singapura, Cik Chung May Khuen, mengucapkan terima kasih kepada muzium luar negara dan keluarga tahanan yang menyumbang artifak buat pertama kalinya kepada CCM.



"Banyak artifak peribadi yang disumbang oleh keluarga itu kini sebahagian daripada Koleksi Nasional Singapura dan membolehkan kita untuk terus mengongsi kisah mereka bersama generasi masa depan," kata beliau dalam kenyataan CCM.



Beliau berharap pengunjung akan mendapati CCM baru dapat terus memberi penghormatan kepada para bekas tahanan dan mendapat inspirasi menerusi kisah keberanian dan daya tahan mereka terutama waktu mencabar dan tidak menentu ketika ini.



Bahkan semasa menjalani pengubahsuaian, Muzium Negara Singapura telah bekerja rapat dengan anggota masyarakat dan pihak berkepentingan termasuk keluarga bekas tahanan untuk mengumpul kisah dan objek peribadi milik mereka.



Dalam hal ini 37 artifak baru telah diderma dan dipinjamkan dari orang awam termasuk diari 400 halaman milik Encik Arthur Westrop yang menulis setiap catatan sebagai surat kepada isterinya di Afrika.



Mengenai kamus Melayu-Inggeris itu pula, Zamil Kurator Muzium Negara Singapura, Encik Iskander Mydin, yang memimpin sesi previu buat media baru-baru ini, berkata kamus tersebut penting kerana ia menandakan kehadiran elemen Melayu dalam muzium tersebut.



Kamus itu mempunyai ciri-ciri ia digunakan sebagai satu latihan kelas tetapi identiti siapa yang mengajarnya di penjara itu tidak diketahui.



Namun Encik Iskander berpendapat ia mungkin diajar oleh pegawai Eropah atau pegawai pentadbiran British yang mempunyai tahap pengetahuan tinggi bahasa Melayu ketika itu.



Kamus itu juga, katanya, membuktikan bahasa Melayu waktu itu penting kerana ia merupakan bahasa asas komunikasi hingga ia perlu diajar kepada tahanan yang berminat.



"Bahasa Melayu dianggap cukup penting sehingga menjadi antara bahasa yang diajar. Dan lelaki ini, saya percaya bukan satu-satunya yang belajar bahasa Melayu itu, kerana mungkin terdapat satu kelas.



"Tapi kami tidak mempunyai maklumat tentang siapa lagi mereka yang belajar bahasa Melayu itu," kata Encik Iskander sambil menambah kamus tersebut didapatkan daripada seorang dealer di Britain.




BUTIRAN MASUK MUZIUM



  • CCM dibuka mulai 19 Mei, Selasa-Ahad (9.30 pagi-5.30 petang)

  • Warga Singapura, PR masuk percuma

  • Untuk raikan pembukaan semula CCM, semua pengunjung masuk percuma dari 19-30 Mei

  • Lawatan berpandu dan persembahan orkestra direkodkan berdasar pengalaman POW diadakan hujung minggu 22-23 Mei

  • Pengunjung digalak pra-tempah tiket masuk dan daftar bagi program pembukaan hujung minggu mulai 17 Mei, 12 tengah hari, sebelum lawat CCM

  • Maklumat lanjut di www.changichapelmuseum.gov.sg atau Facebook, Instagram CCM




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >