Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kanji kentang tercampur sumber api punca letupan Tuas

NTUC prihatin korban di tempat kerja, akan kerjasama dengan firma bantu mangsa
Feb 26, 2021 | 05:30 AM



SIASATAN awal menunjukkan letupan yang membunuh tiga orang di Tuas kelmarin berpunca daripada bahan mudah terbakar yang digunakan di premis syarikat terlibat.



Habuk kanji kentang yang terkumpul di kawasan tertutup itu dipercayai meletup apabila bercampur dengan sumber api.



Kanji kentang itu digunakan oleh Stars Ergng, sebuah kontraktor bagi sistem perlindungan kebakaran, untuk menghasilkan produknya.



Ini didedahkan Pesuruhjaya Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH), Encik Silas Sng, semalam, semasa bercakap kepada media di tempat kejadian di 32E Tuas Avenue 11 itu.



"Habuk itu boleh terkeluar semasa serbuk bahan tersebut dipindahkan... misalnya dari beg atau bungkusan ke alat pengadun.



"Lama-kelamaan, habuk itu akan mula terkumpul di udara, terutama apabila penyaluran udara atau usaha pembersihan bagi mengurangkan jumlah bahan itu di udara tidak mencukupi," jelas Encik Sng, yang juga Pengarah Divisyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Tenaga Manusia (MOM).



Menurutnya, apabila habuk daripada kanji tepung itu becampur dengan sumber api, letupan boleh berlaku, terutama apabila habuk itu terkumpul dengan banyak dalam sebuah kawasan tertutup.



Mengulas mengenai insiden itu Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad berkata semua kemalangan di tempat kerja, termasuk yang berlaku di Tuas itu boleh dicegah dan tidak seharusnya berlaku.



"Pegawai kami akan mempergiat penguatkuasaan di tempat kerja sedemikian, supaya dapat mengelak kemalangan serupa di masa depan.



"MOM tidak akan berlengah mengambil tindakan penguatkuasaan ketat terhadap syarikat yang gagal melaksanakan langkah keselamatan yang sewajarnya," ujar beliau.



Kelmarin, MOM mengumumkan ia akan menambah 300 pemeriksaan bagi industri berisiko tinggi.



Seramai 10 pekerja dimasukkan ke hospital menyusuli kebakaran itu dan tiga yang meninggal dunia belum dikenal pasti kerana mengalami kelecuran teruk.



Lima pekerja berada dalam keadaan kritikal, sementara dua pekerja yang berada di unit bertentangan telah dibenarkan pulang.



Terdapat sekurang-kurangnya tujuh kematian berpunca daripada kemalangan di tempat kerja bulan ini. Empat kematian dilaporkan pada 10 hari pertama bulan ini.



Menyusuli itu, pengerusi WSH, Encik John Ng, berkata pihaknya telah menggesa syarikat-syarikat agar menyemak langkah pengurusan selamat mereka.



Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Melvin Yong berkata NTUC prihatin dan akan bekerjasama dengan majikan untuk memberi sokongan kepada semua pekerja yang menjadi mangsa.



Bagi tiga pekerja yang terkorban itu, NTUC sedang berusaha untuk memberitahu keluarga mereka serta meninjau bantuan yang boleh dihulurkan kepada mereka, kata Encik Yong, yang juga Anggota Parlimen Radin Mas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >