Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kapal perang Jerman berlabuh di Changi dalam rangka penempatan 6 bulan di Asia-Pasifik

Dec 22, 2021 | 05:30 AM



KAPAL perang Jerman jenis frigat, Bayern, tiba di Singapura dalam rangka penempatan selama enam bulan ke rantau Asia-Pasifik - penugasan pertama sedemikian untuk tentera laut Jerman dalam hampir dua dekad.



Kapal perang itu akan berlabuh di Pangkalan Tentera Laut Changi selama dua minggu sepanjang tempoh Krismas dan Tahun Baru untuk pengisian dan penyelenggaraan, serta tempoh rehat bagi lebih 200 kelasi di atas kapal.



Sejak berlepas dari pelabuhan asalnya di Wilhelmshaven pada Ogos, frigat itu telah belayar merentasi Laut China Selatan sebelum tiba di Singapura, dan dijadualkan meneruskan pelayarannya ke Vietnam mulai awal Januari.



Bercakap di majlis sambutan kapal itu semalam, Duta Besar Jerman ke Singapura, Dr Norbert Riedel, berkata persinggahan di Singapura adalah penting memandangkan banyak persamaan yang dikongsi antara kedua-dua negara.



Lebih 2,000 syarikat Jerman di sini menyediakan lebih 45,000 pekerjaan, dan ini membentuk tulang belakang perkongsian ekonomi kedua-dua negara, tambahnya.



"Ketibaan Bayern menunjukkan lagi pengukuhan kerjasama dalam bidang keselamatan dan dasar pertahanan," katanya kepada kru dan wartawan di kapal itu.



Singapura berkongsi dengan Jerman keinginan memelihara rantau Indo-Pasifik sebagai kawasan keselamatan, kestabilan dan kebebasan, katanya.



"Kepercayaan bersama kami dalam aturan pelbagai hala berasaskan peraturan menjangkau tanggungjawab bersama dalam menegakkan undang-undang antarabangsa dalam bidang keselamatan dan kebebasan pelayaran perairan antarabangsa," tambah Dr Riedel.



Penempatan Bayern dari Ogos hingga Februari tahun depan - yang pertama di rantau itu sejak 2002 - dibuat selepas Jerman mengeluarkan garis panduan dasar di rantau Indo-Pasifik pada September tahun lepas.



Kertas itu menetapkan rancangan untuk Jerman meningkatkan penglibatan di Asia, termasuk melalui meluaskan kerjasama keselamatan dan pertahanannya dengan rakan serantau, seperti melalui dialog, lawatan dua hala dan penyertaan dalam latihan.



Turut hadir pada acara alu-aluan semalam ialah Panglima Tentera Laut Jerman, Naib Laksamana Kay-Achim Schönbach, yang sedang dalam lawatan pengenalan ke Singapura dari 19 hingga 22 Disember.



Bercakap kepada pemberita, beliau berkata penempatan Bayern hanyalah "permulaan", dan lebih banyak kapal boleh dijangka mulai 2023.



"Lain kali kami mahu mempunyai dua kapal, satu frigat dan satu kapal sokongan kerana semua pasukan pembaikan dan alat ganti lebih mudah diangkut dengan bantuan kapal sokongan daripada hanya meletakkan semuanya pada satu frigat," tambahnya.



Ditanya mengapa Bayern tidak belayar di Selat Taiwan, Naib Laksamana Schönbach berkata penempatan tentera laut pertama Jerman ke rantau itu dalam tempoh 19 tahun tidak sepatutnya bermula "dengan tukul".



"Kali ini kita mulakan dengan langkah yang lebih kecil, tetapi seterusnya - atas keputusan pemerintah Jerman - mungkin kita belayar secara dua hala di Selat Taiwan."



Beijing telah berulang kali membangkitkan tentangan terhadap laluan oleh kapal perang Amerika Syarikat di Selat Taiwan yang sensitif yang memisahkan Taiwan dari tanah besar China.



Bayern ialah salah satu daripada empat frigat kelas Brandenburg Jerman yang digunakan terutamanya untuk peperangan antikapal selam, tetapi juga untuk operasi permukaan-ke-permukaan dan antipesawat.



Dalam pada itu, Komander Armada Tentera Laut Republik Singapura (RSN), Laksamana Muda Saw Shi Tat, berkata kedua-dua tentera laut telah mengukuhkan hubungan dua hala dengan ketara sejak sedekad lalu.



RSN kini menempatkan pasukan projek dan dua set kru kapal selam di bandar pelabuhan Kiel untuk latihan dan pengendalian kapal selam Type 218SG terbaharunya, katanya.



Singapura mengendalikan empat kapal selam yang telah diperbaharui yang dijadualkan digantikan oleh kapal selam buatan Jerman mulai 2022.



"Kedua-dua angkatan laut kami komited memperdalam hubungan dua hala, dan kami berharap untuk mengukuhkan lagi kedalaman dan keluasan kerjasama kami dalam bidang kepentingan bersama yang sedia ada dan baharu."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >