Subuh
5:46
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:29
Maghrib
7:15
Isyak
8:26
Setempat

KORONAVIRUS

Kapal persiaran Italy dibenar berlabuh di S'pura ikut jadual

Mar 10, 2020 | 05:30 AM

SEBUAH kapal persiaran Italy akan berlabuh di Singapura seperti dijadualkan hari ini, kata pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) berkata:

"Doktor di atas kapal persiaran itu akan memeriksa penumpang dan kru demi memastikan mereka sihat sebelum turun dari kapal. Semua penumpang yang memasuki Singapura perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Di samping itu, penumpang yang memasuki Singapura dan menunjukkan tanda demam dan/atau tanda penyakit pernafasan lain tetapi tidak memenuhi definisi klinikal Kementerian Kesihatan (MOH) mungkin perlu menjalani ujian swab Covid-19," tambah agensi tersebut.

Penumpang yang dikenal pasti bagi ujian swab Covid-19 tetapi enggan melakukan demikian tidak akan dibenarkan masuk ke Singapura, lapor akhbar The Straits Times.

MPA dan STB berkata kapal itu - Costa Fortuna - telah mengisytiharkan dalam Deklarasi Kesihatan Maritim bahawa tidak ada penumpangnya demam atau mengalami tanda penyakit pernafasan.

Kapal itu akan kembali ke Singapura selepas kedatangannya ditolak oleh Thailand dan Malaysia disebabkan kebimbangan berhubung koronaviarus Covid-19.

Kapal itu, yang membuat pelayaran 14 hari di rantau ini, meninggalkan Pusat Kapal Peleseran Marina Bay Singapura sekitar dua minggu lalu.

Kesemua penumpangnya menaiki kapal itu dari Singapura dan telah selesai menjalani pemeriksaan sebelum menaiki kapal berdasarkan dasar semasa bagi sejarah perjalanan dan pemeriksaan suhu badan seperti yang diperlukan kapal persiaran itu dan pengendali terminal.

Costa Fortuna berhenti sekejap di Singapura dan berlepas sekali lagi pada Selasa lalu sejajar dengan jadual perjalanannya.

Menurut penjejak kapal, kapal itu membuat kemajuan baik dalam pelayarannya ke arah Singapura sejak Ahad lalu. Hingga 7 pagi semalam, ia berada di perairan dekat Tuas, namun masih di perairan antarabangsa.

Menurut jadual perjalanan kapal itu, ia sebelum ini telah membuat perjalanan ke timur Singapura ke arah Koh Samui dan Laem Chabang di Thailand sebelum pergi ke Sihanoukville di Kemboja.

Kapal itu kembali ke Singapura Selasa lalu sebelum belayar ke arah barat dan sampai di Langkawi, Malaysia pada Khamis lalu.

Setelah itu, ia dijadualkan berhenti di Phuket, Pulau Pinang dan Kelang, namun kedatangannya ditolak oleh Thailand dan Malaysia.

Terdapat sekitar 60 rakyat Italy di atas kapal Costa Fortuna itu, menurut pegawai Malaysia.

Italy dilanda teruk oleh Covid-19, dengan lebih 300 kematian, iaitu paling banyak di luar China, tempat wabak itu bermula Disember lalu.

Separuh daripada penduduk Italy kini terkurung, dengan jumlah jangkitan melonjak kepada 7,000 di negara itu.


"Doktor di atas kapal persiaran itu akan memeriksa penumpang dan kru demi memastikan mereka sihat sebelum turun dari kapal. Semua penumpang yang memasuki Singapura perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebagai langkah berjaga-jaga. Di samping itu, penumpang yang memasuki Singapura dan menunjukkan tanda demam dan/atau tanda penyakit pernafasan lain tetapi tidak memenuhi definisi klinikal Kementerian Kesihatan (MOH) mungkin perlu menjalani ujian swab Covid-19."
- Kenyataan bersama Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian