Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kasih sayang, kemesraan dorong bapa ambil anak tiri sebagai anak angkat

Apr 10, 2022 | 05:30 AM



APABILA Encik Azhar Mohamed mengahwini wanita asal Filipina, Cik Azerah Yabut, sembilan tahun lalu, beliau mendapat dua anak tiri yang pada waktu itu masih sangat kecil lagi.



Melihat kanak-kanak itu membesar di depan matanya membuat Encik Azhar menjadi sangat sayang dan mesra dengan mereka.



Justeru tiga tahun lalu, beliau memutuskan untuk mengambil kedua-dua anak tirinya itu menjadi anak angkatnya.



Selepas proses yang mengambil masa dua tahun itu, Encik Azhar tahun lalu sah bergelar bapa angkat kepada anak-anak isterinya yang kini sudah pun berusia 16 dan 13 tahun.



Menceritakan proses pengambilan anak angkat yang dilaluinya, jurutera berusia 50 tahun itu berkata beliau membuat permohonan itu melalui Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) tetapi permohonan itu ditolak sebanyak dua kali.



"Kami diberitahu yang kami perlu mendapatkan seorang peguam untuk membantu dalam permohonan pengambilan anak angkat ini. Mujur kami memang sudah bersedia daripada segi kewangan untuk membiayai proses itu," kata Encik Azhar yang membelanjakan hampir $12,000 untuk keseluruhan proses tersebut, dengan sebahagian besar jumlah itu merupakan yuran guaman.



MSF mengenakan bayaran $250 untuk proses pengambilan seorang anak angkat.



Encik Azhar menerangkan kes pengambilan anak angkatnya adalah mudah, kerana kedua-dua anak tirinya sudah pun menginap di Singapura dan menuntut di sekolah pemerintah.



Mereka, yang dilahirkan di Filipina, juga telah beberapa tahun tinggal bersamanya.



Proses itu menghendaki Encik Azhar dan Cik Azerah menghadiri taklimat pra-pengambilan anak angkat.



"Taklimat itu sangat bermanfaat untuk mereka yang mahu mengambil anak angkat. Ada orang mungkin ingat yang mereka mempunyai wang yang banyak dan boleh memberi anak angkat mereka apa yang mereka mahu. Tetapi ini tidak betul. Anak-anak itu memerlukan kasih sayang, bukan hanya mainan dan barang-barang," kata Encik Azhar.



Cik Azerah, seorang penduduk tetap Singapura, menambah: "Taklimat itu juga mengongsi tentang bila masa terbaik untuk memberitahu yang kanak-kanak itu adalah anak angkat. Ia memberi penerangan yang sangat jelas tentang tanggungjawab ibu bapa angkat dan juga proses pengambilan anak angkat."



Beliau berkata kedua-dua anaknya tahu yang mereka adalah anak angkat dan kini berbin dan berbintikan nama Encik Azhar. Mereka juga mendapat status warganegara Singapura tidak lama selepas sah bergelar anak angkat.



Selain menghadiri sesi taklimat itu, Encik Azhar menjalani sesi penilaian yang terdiri daripada wawancara terperinci yang menanyakan pelbagai soalan, rata-rata tentang latar belakangnya.



"Saya ditanya sama ada bekas isteri saya, adik-beradik saya dan ibu bapa saya tahu tentang rancangan saya mengambil anak angkat," kata Encik Azhar yang mempunyai dua anak kandung berusia 23 dan 21 tahun daripada perkahwinan lalu.



"Isteri saya dan anak-anaknya juga diwawancara. Banyak soalan ditanyakan. Sesi wawancara untuk setiap orang mengambil masa sekitar satu jam," tambahnya.



Encik Azhar berkata anak-anak kandungnya tahu yang mereka kini mempunyai adik-beradik angkat, dan kesemua mereka menjalin hubungan yang baik dan mesra.




SEKILAS PERUBAHAN UTAMA



Rang Undang-Undang Pengambilan Anak Angkat mengusulkan tujuh perubahan utama kepada undang-undang semasa:



  • Mereka yang disabitkan dengan jenayah berat, termasuk penganiayaan seksual, kesalahan dadah dan keganasan, tidak akan dibenarkan mengambil anak angkat kecuali mahkamah tentukan terdapat keadaan luar biasa bagi membenarkan mereka.

  • Mengiklankan kanak-kanak untuk dijadikan anak angkat dengan maklumat atau gambar yang boleh mengenal pasti kanak-kanak itu akan menjadi satu jenayah, kecuali dengan kelulusan daripada penjaga sementara proses pengambilan anak angkat (GIA) yang dilantik oleh MSF.

  • Rang undang-undang baru itu akan memperjelaskan lagi ambang dan keadaan yang diusulkan, dan menyatakan lebih banyak sebab di mana proses pengambilan anak angkat boleh diteruskan tanpa kebenaran ibu bapa kandung. Ini termasuk kes di mana ibu bapa kandung sengaja mendera kanak-kanak itu.

  • Semua agensi pengambilan anak angkat mesti mendedahkan bayarannya kepada umum.

  • Bayaran berkaitan pengambilan anak angkat akan dikawal oleh MSF untuk memastikan agensi pengambilan anak angkat mengenakan bayaran untuk barangan yang munasabah sahaja.

  • Adalah menjadi satu kesalahan bagi ejen pengambilan anak angkat untuk melakukan sesuatu dengan cara menipu, menggunakan paksaan, pengaruh yang tidak wajar atau cara lain yang tidak sesuai untuk mendapatkan persetujuan bagi pengambilan anak angkat.

  • Adalah menjadi satu kesalahan bagi sesiapa sahaja untuk memberi maklumat palsu atau mengelirukan kepada pihak berkuasa untuk mengambil anak angkat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >