SAIZ kumpulan etniknya mungkin dianggap kecil dalam negara majmuk Singapura, tetapi ini tidak menghambat kaum minoriti Arab untuk terus memberikan sumbangan meluas, yang kesannya bukan sahaja dirasakan di Singapura tetapi juga di luar negara.
Ini dapat dicapai kerana kaum minoriti Arab ini, yang diwakili Persatuan Arab Singapura Al-Wehdah, memastikan pertalian dalam kalangan anggota masyarakatnya kekal utuh dan identitinya tidak terhakis.
Ditubuhkan pada 1946, Al-Wehdah pada asalnya bertujuan menyatukan masyarakat Arab di rantau ini.
"Sepanjang tahun-tahun lalu, saya rasa kami sudah berjaya lebih-lebih lagi dalam mempromosikan dan mengekalkan budaya kami," kata Presiden Al-Wehdah, Encik Khalid Saleh Basharahil.
Malah, beliau berkata persatuan tersebut telah menebarkan sayapnya untuk melakukan lebih daripada itu, dan menawarkan dana pendidikan, menghulurkan bantuan kemanusiaan malah menganjurkan usaha untuk melibatkan kaum lain.
Sejauh ini, mereka telah menganjurkan pelbagai inisiatif bagi menyemarakkan semangat kebudayaan seperti contoh, pameran Al Qisah beberapa tahun lalu di Wisma Geylang Serai, yang menceritakan dan memperingatkan usaha tokoh masyarakat Arab dalam pembentukan negara Singapura.
Dari segi pendidikan, ia menawarkan Anugerah Dermasiswa Al-Wehdah bagi memberikan bantuan tunai untuk membantu belia Arab Singapura meneruskan pendidikan posmenengah di Singapura.
Ini di samping Biasiswa Agama Al-Wehdah bagi pelajar asal Arab, warga atau penduduk tetap Singapura, untuk melanjutkan pelajaran agama di institusi pengajian tinggi agama antarabangsa yang diiktiraf seperti di Jordan, Mesir, Arab Saudi dan Malaysia.
Kedepannya, ia akan melancarkan Anugerah Tareem pula bagi lulusan madrasah untuk melanjutkan pengajian di Rubat Tareem atau Darul Mustafa, Hadramaut.
Keistimewaannya adalah ia akan dibuka kepada semua warga Singapura dan penduduk tetap, tidak kira daripada bangsa Arab ataupun tidak.
Ini, menurut Setiausaha Al-Wehdah, Dr Ameen Talib, adalah salah satu cara mereka mendekati kaum lain.
Justeru, beliau berharap bahawa orang ramai akan menepis salah tanggapan bahawa orang Arab itu bersifat "eksklusif".
Memberi contoh, beliau berkata:
"Ramai yang tidak sedar bahawa sebahagian besar anggota jawatankuasa pengurusan Al-Wehdah juga aktif dalam pertubuhan Melayu/Islam lain."
Dr Ameen turut berkongsi bahawa persatuan itu melakukan kerja kemanusiaan, dengan yang terkini bagi para penduduk Yaman.
Mereka telah mengutip derma bagi tujuan menyediakan bantuan kesihatan, perlindungan dan sokongan-sokongan sosial bagi golongan masyarakat memerlukan dan terjejas di Yaman, Hadramaut.
Konflik yang berlaku di negara termiskin di Semenanjung Arab itu memusnahkan prasarana, meruntuhkan ekonomi dan meletakkan berjuta-juta penduduk di ambang kebuluran.
Naib Presiden Al-Wehdah, Encik Alwi Mohammad Aidid melahirkan harapan agar terdapat lebih kesedaran mengenai kaum Arab di Singapura.
"Orang Arab telah banyak menyumbang kepada sejarah Singapura jika dibandingkan dengan kaum lain...tetapi masih ramai yang tidak tahu tentang kewujudan kaum Arab di Singapura," ujarnya.
Dr Ameen menekankan bahawa perlunya untuk identiti Arab ini diterapkan bersama identiti sebagai warga Singapura.
"Untuk perkara tersebut berhasil, kita perlu diiktiraf pada peringkat kebangsaan. Jadi, cita-cita saya adalah masyarakat Arab diwakili di setiap acara nasional di Singapura. Contohnya pada Hari Kebangsaan, terdapat perwakilan bagi budaya Arab dalam persembahan yang memaparkan budaya berbeza di Singapura," tambahnya.