Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KENYATAAN MENTERI

Keadaan penjara di sini memadai: Shanmugam

Kesihatan fizikal, mental banduan dinilai, mereka boleh lapor kepada pegawai bila-bila masa jika sakit
Jul 05, 2022 | 05:30 AM



KEADAAN penjara di negara ini dinilai boleh diterima sementara keperluan penting banduan dipenuhi, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.



Beliau berkata demikian di Parlimen semalam untuk mengulas beberapa soalan yang timbul tentang keadaan penjara dan menyusuli penerbitan dokumentari bertajuk Inside Maximum Security oleh CNA awal tahun ini yang menarik perhatian orang ramai mengenai operasi dan keadaan penjara.



Sejak itu, beliau berkata beberapa Anggota Parlimen telah tampil mengemukakan soalan tentang keadaan penjara dan pemulihan.



Encik Murali Pillai (Bukit Batok) bertanya jika keadaan penjara Singapura mencerminkan kedudukan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) sebagai agensi pemulihan yang utama.



Sementara itu, beberapa Anggota Parlimen lain turut bertanya tentang sokongan yang diberi kepada banduan yang menghadapi isu perubatan dan kesihatan mental.



Penjara S'pura dapat penuhi keperluan penting banduan



Menyampaikan Kenyataan Menteri berhubung keadaan penjara dan pemulihan, Encik Shanmugam berkata terdapat pihak yang mempersoal keadaan penjara Singapura.



Beliau menarik perhatian bagaimana mahkamah Britain menyifatkan keadaan penjara sebagai tidak ideal dalam kes David James Roach, yang diekstradisi dari Britain ke Singapura pada 2020 kerana merompak bank Standard Chartered di sini pada 2016.



Tambahnya, ada juga yang mempersoal tentang tempoh lama yang dihabiskan banduan dalam sel penjara mereka, banduan tidur atas tikar jerami serta keadaan penuh sesak dalam penjara.



Encik Shanmugam menolak dakwaan bahawa penjara Singapura penuh sesak, dengan penjara di sini beroperasi pada paras sekitar 70 peratus jumlah yang ditentukan boleh ditampungnya.



Merujuk kepada laporan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) pada 2021, beliau berkata ia menyatakan bahawa masalah penjara penuh sesak sangat meluas di seluruh dunia.



Menurut data UNODC, penjara di hampir separuh, atau 47 peratus, 100 negara dan wilayah beroperasi pada paras lebih 100 peratus jumlah yang ditentukan boleh ditampungnya.



"Saya perlu berhati-hati dengan kaveat membandingkan peratusan antara negara kerana sama ada keadaan itu dianggap penuh sesak boleh bergantung pada definisinya," ujar Encik Shanmugam.



Beliau menarik perhatian bahawa Kompleks Penjara Changi dibina pada awal 2000-an.



Penjara dan pusat pemulihan dadah (DRC) kini mengambil ruang sebanyak 0.26 kilometer persegi.



Dengan ini sahaja ruang yang ada, adalah perlu untuk memaksimumkan penggunaannya, kata beliau.



"Jika kita mahu mengubahnya, jumlah wang yang banyak perlu dibelanjakan, mungkin berbilion dolar dan memerlukan lebih banyak ruang.



"Dan sama ada itu yang harus dilakukan, ia bergantung pada penilaian kami berhubung keadaan sekarang," ujarnya.



Encik Shanmugam berkata keadaan penjara Singapura boleh diterima, dengan keperluan penting banduan dapat dipenuhi.



Tambahnya, semua banduan yang dipenjara dinilai dari segi keadaan kesihatan fizikal dan mental mereka.



Mereka juga boleh melaporkan kepada pegawai sekiranya rasa sakit pada bila-bila masa.



Malah, mereka akan diberi penjagaan perubatan yang diperlukan oleh pegawai perubatan penjara, pakar psikiatri penjara dan pegawai perubatan lain, dengan banduan yang memerlukan penjagaan perubatan dan rawatan pakar boleh dirujuk kepada hospital pemerintah.



Meskipun data mengenai banduan yang didiagnos masalah kesihatan mental semasa dimasukkan ke penjara tidak dipantau secara aktif, Encik Shanmugam berkata sekitar 5 peratus banduan mengambil ubat untuk menangani masalah kesihatan mental mereka hingga Mac lalu, kebanyakannya bagi masalah penyesuaian dan emosi.



Mereka yang memerlukan pemeriksaan susulan secara aktif di Institut Kesihatan Mental (IMH) juga akan dirujuk kepada pakar psikiatri.



Menggambarkan keadaan dalam sel penjara, Encik Shanmugam berkata semua sel penjara mempunyai kemudahan tandas dan tiada kipas disebabkan risiko keselamatan namun mempunyai sistem pengaliran udara yang semula jadi dan mekanikal.



Menyifatkan rejim dan sekitaran penjara Singapura sebagai tegas, beliau berkata ini dilakukan dengan sengaja, dengan banyak penekanan pada keselamatan dan pemantauan.



Sementara falsafah Singapura ialah memastikan rejimnya tegas, Encik Shanmugam berkata adalah penting mengambil kira faktor lain, seperti kadar kebentanan, kadar serangan yang berlaku dalam penjara serta keselamatan dan disiplin banduan.



Tambahnya, situasi geng di penjara Singapura dipantau rapat dan tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dalam kegiatan sedemikian.



"Kami cuba memastikan keselamatan, ketenteraman dan disiplin di penjara.



"Kami mahu banduan beri tumpuan pada pemulihan dan mengubah hidup mereka, tanpa perlu hidup dalam ketakutan bagi keselamatan peribadi mereka," ujar beliau.




"Kami cuba memastikan keselamatan, ketenteraman dan disiplin di penjara. Kami mahu banduan beri tumpuan pada pemulihan dan mengubah hidup mereka, tanpa perlu hidup dalam ketakutan bagi keselamatan peribadi mereka."
- Encik K. Shanmugam, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, mengenai situasi geng di penjara Singapura dipantau rapat dan tindakan disiplin diambil terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan sedemikian.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >