SATU kebakaran berlaku di bilik tidur sebuah unit kondominium tingkat tiga di Hindhede Walk, di Upper Bukit Timah Road awal pagi tadi (22 November).
Menjawab pertanyaan The Straits Times, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia diberitahu tentang kebakaran di Springdale Condominium di 47, Hindhede Walk sekitar 5.41 pagi.
SCDF mengerahkan dua lori bomba, satu Red Rhino, satu ambulans dan satu kenderaan sokongan ke tempat kejadian.
Penghuni unit itu, sepasang suami isteri, sudah pun menyelamatkan diri sebelum ketibaan SCDF.
Lagi 50 penghuni dari tingkat pertama hingga kelima kondominium itu juga dipindahkan.
Menurut ST, pegawai SCDF mengambil masa 10 minit untuk memadamkan api.
Pemilik lelaki rumah itu dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat akibat terhidu asap, kata SCDF.
Punca kebakaran sedang disiasat.