SATU insiden kebakaran berlaku di restoran makanan segera McDonald's di cawangannya di Kelab Masyarakat Tampines East malam tadi (12 April).
Dalam satu video yang dilihat Berita Harian, orang ramai, termasuk kakitangan restoran tersebut berada di tempat letak kereta terbuka di luar restoran itu.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya diberitahu tentang satu kebakaran di No. 10 Tampines St 23 pada sekitar 9.50 malam.
"Kebakaran itu melibatkan kandungan di dalam dapur.
"SCDF telah memadamkan api dengan jet air," kata SCDF.
Ia menambah bahawa sekitar 20 orang telah berpindah dari tempat kejadian sebelum ketibaan pegawai bombanya.
Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat, tambah SCDF.