KEBANYAKAN penyewa kedai di Tanjong Katong Complex (TKC) telah memilih untuk kekal di pusat beli-belah ikonik itu sehingga tempoh sewa berakhir pada 30 Jun 2023.
Penguasa Tanah Singapura (SLA) telah memberikan penyewa pilihan untuk melanjutkan tempoh sewa enam bulan sehingga tarikh itu, supaya mereka boleh memanfaatkan penjualan Hari Raya pada April 2023.
Tahun 2023 merupakan Ramadan dan Hari Raya terakhir orang ramai boleh mengunjungi dan berbelanja di TKC sebelum pintunya ditutup selama tiga tahun bagi kerja naik taraf yang akan bermula dari Ogos 2023 dan dijangka berakhir menjelang Julai 2026.
Menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM), SLA berkata sehingga 15 Mac 2023, 8.5 peratus daripada 106 penyewa kedai di kompleks beli-belah di Geylang Serai itu telah keluar, selepas memutuskan tidak menerima tawaran melanjutkan tempoh sewa selama enam bulan atau telah menamatkan sewa mereka sebelum habis kontrak.
Ini bermakna sekurang-kurangnya lapan penyewa tidak lagi beroperasi di kompleks itu.
Tempoh sewa bagi baki sekitar 100 penyewa TKC itu sepatutnya berakhir 31 Disember 2022, namun SLA telah memberikan tempoh lanjutan sewa selama enam bulan.
SLA memantau TKC, yang terletak di 845 Geylang Road, sebagai hartanah milik pemerintah.
Semasa kunjungan BM ke TKC baru-baru ini, akhbar ini mendapati ada lebih 10 unit yang kosong, terutamanya di aras tiga kompleks itu.
Difahamkan, beberapa unit kosong itu tidak lagi disewakan bagi memberi laluan kepada pemeriksaan sebelum kerja naik taraf bermula.
Namun, daripada baki unit kosong yang masih boleh disewa, sebahagian besarnya telah disewakan bagi jangka pendek semasa Ramadan dan Hari Raya ini.
"Untuk mempertingkat jumlah pengunjung ke TKC semasa Ramadan, SLA telah menyewakan kebanyakan unit yang kosong di TKC untuk perniagaan dan usahawan menjalankan jualan bazar Hari Raya," kata jurucakap SLA.
Menurut beberapa penyewa di TKC, amalan penyewaan jangka pendek oleh perniagaan dan usahawan sempena Ramadan dan Hari Raya itu adalah sesuatu yang diperhatikan sejak beberapa tahun lalu, kecuali pada 2020 ketika Ramadan dan Hari Raya jatuh semasa tempoh pemutus litar di tengah-tengah Covid-19.
Rancangan pembaharuan bagi TKC bertujuan memberi kesegaran kepada kompleks itu dan juga melengkapi pembangunan baru di kawasan sekitarnya seperti pusat beli-belah Paya Lebar Quarter (PLQ).
Ia juga sebahagian usaha merombak Geylang Serai sebagai jalur budaya Melayu seperti diumumkan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam Rapat Hari Kebangsaan 2018.
Sejak dibuka pada 1982, TKC belum lagi menjalani kerja peningkatan besar dan sistem mekanikal dan elektrik perlu diperbaharui.
Apabila kerja naik taraf TKC selesai pada Julai 2026, orang ramai boleh menjangkakan bangunan kontemporari dengan lebih banyak ruang runcit, pilihan makanan dan minuman (F&B) lebih luas, ruang bagi kegiatan masyarakat dan kemudahan.
Ini termasuk kawasan atas bumbung baru, yang sebahagiannya menempatkan tempat F&B.
Namun, TKC akan mengekalkan ciri-ciri ikoniknya seperti tiang miring di muka bangunan yang menghadap Tanjong Katong Road.
Ruang keluasan lantai kasar (GFA) kompleks itu dijangka bertambah sekitar 20 peratus menyusuli kerja-kerja naik taraf. GFA TKC sekarang adalah sekitar 19,000 meter persegi.
SLA berkata mereka telah melantik DP Architects untuk menerajui sekumpulan konsultan pelbagai disiplin terdiri daripada konsultan awam dan struktur, Arup Singapore, dan konsultan mekanik dan elektrik, J Roger Preston (S), untuk mereka bentuk dan menguruskan projek itu.