Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KES BUDAK MATI DIDERA

Kecederaan akibat dikurung dalam sangkar: Pakar forensik

Nov 14, 2019 | 05:30 AM



LUKA dalam pada muka dan kulit kepala budak lelaki berusia lima tahun yang mati setelah didera ibu bapanya mungkin akibat dikurung dalam sangkar kucing peliharaan keluarganya, kata pakar patologi forensik kepada Mahkamah Tinggi semalam.



Dr Chan Shijia, yang telah memeriksa sangkar yang berukuran 91 sentimeter panjang, 58 sentimeter lebar dan 70 sentimeter tinggi itu, berkata tidak mustahil untuk seseorang yang terkurung di dalamnya tercalar disebabkan besi sangkar itu sewaktu sedang bergerak.



Beliau memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan Azlin Arujunah dan Ridzuan Mega Abdul Rahman, kedua-duanya 27 tahun, yang dituduh membunuh dengan niat yang sama sengaja menyebabkan kecederaan parah pada anak lelaki mereka.



Mereka masing-masing menghadapi beberapa tuduhan berkaitan tindakan mendera, termasuk mencubit mangsa dengan sepasang playar, memukulnya dengan penyapu dan mengurungnya dalam sangkar haiwan peliharaan.



Dalam laporan bedah siasatnya, Dr Chan mendapati budak itu mati ekoran kelecuran parah.



Kelecuran darjah kedua, meliputi 75 peratus tubuhnya, kata Dr Chan.



Kelecuran sedemikian "sangat menyakitkan" dan "menembusi saluran darah kulit," katanya.



Apabila gambar-gambar badan mangsa ditunjukkan di skrin, Azlin terus memandang ke arah lain manakala Ridzuan membongkok dan hanya mampu memandang ke bawah.



Dr Chan berkata tompok-tompok kulit yang berbeza menunjukkan luka pada peringkat berbeza - bahagian merah merupakan kelecuran yang baru terjadi, dan warna keputihan itu adalah kelecuran yang telah sembuh, manakala kuning bermakna ada tanda jangkitan.



Beliau menambah kecederaan kepada bahagian kepala dan wajah budak lelaki itu menyumbang kepada kematiannya kerana pendarahan tersebut telah menjejaskan kesihatan umumnya dan keupayaannya untuk melawan kelecuran parah.



Menjelaskan bagaimana kelecuran parah boleh mengakibatkan kematian, Dr Chan berkata kehilangan lapisan kulit pelindung menyebabkan badan kehilangan tekanan cecair dan tekanan darah.



Ini memberi kesan kepada fungsi jantung dan menjadikannya lebih sukar bagi mangsa untuk bernafas. Jangkitan juga akan berlaku, tambahnya lagi.



"Ia adalah penglibatan pelbagai organ yang membawa kepada kematian."



Beberapa minggu sebelum kematiannya pada 23 Oktober 2016, budak lelaki itu disembur dengan air panas, dari sebuah dispenser air di dapur, sebanyak empat kali oleh Azlin, Ridzuan atau kedua-dua mereka.



Seminggu sebelum kematiannya - antara 15 dengan 22 Oktober tahun itu - budak lelaki tersebut disiram dengan air panas dalam empat kejadian dan menderita akibat kelecuran teruk di kulit kepala yang kemudian menyebabkan kematiannya.



Pada 21 Oktober, Azlin mengejar budak lelaki di ruang tamu dan menyimbahnya dengan sembilan hingga 10 cawan air panas.



Dalam soal balas dengan Dr Chan semalam, peguam yang mewakili Azlin dan Ridzuan, masing-masing cuba mencetus keraguan bahawa klien mereka bertanggungjawab bagi kecederaan yang membawa maut itu.



Peguam Azlin, Encik Terence Tan bertanya sama ada budak lelaki itu boleh berlari-lari pada 21 Oktober jika kelecuran yang dialaminya begitu teruk.



Menjawab, Dr Chan berkata budak lelaki itu sedang 'berlari untuk menyelamatkan dirinya' dan adalah diketahui, ada orang yang masih boleh berlari selepas ditikam.



Mewakili Ridzuan, Encik Eugene Thuraisingam berkata ada empat tempoh berasingan di mana kelecuran berlaku.



"Anda tidak boleh mengenal pasti kecederaan mana satu yang mencukupi... untuk menyebabkan kematian," kata Encik Thuraisingam.



Dr Chan bersetuju.



Perbicaraan diteruskan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >