Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SOROTAN ISU

Kedai urut tawar khidmat seks diserbu

Oct 04, 2022 | 05:30 AM



ANTARA deretan kedai tertutup di Orchard Towers, terdapat beberapa kedai tertentu yang masih dibuka dengan pelanggan ditawarkan khidmat 'bermadu kasih'.



Itu antara kegiatan maksiat yang ditawarkan dua premis urutan tradisional dengan pengendali meminta bayaran antara $150 dengan $200 bagi khidmat seksual.



Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar apabila polis menyerbu premis itu Jumaat lalu.



Dua kedai tersebut adalah antara beberapa cawangan urutan tradisional yang diserbu polis di beberapa lokasi dalam operasi mencegah kegiatan maksiat yang dikongsi dengan pihak media baru-baru ini.



Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan semalam berkata satu operasi penguatkuasaan silang agensi, yang dipimpin Divisyen Polis Tanglin, telah menjalankan operasi membanteras kegiatan itu antara 24 September dengan 1 Oktober lalu.



Sekitar 40 individu berusia antara 20 dengan 81 tahun disiasat bagi beberapa kesalahan termasuk kegiatan maksiat di bawah Piagam Wanita, perjudian haram, memiliki rokok tanpa dibayar cukai, melanggar peraturan keselamatan kebakaran, penglibatan dalam kumpulan samseng serta penyalahgunaan dadah.



Antara mereka, 19 individu telah ditangkap.



Operasi itu disokong pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Biro Narkotik Pusat, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Kastam Singapura.



Pihak media dibawa mengikuti operasi itu Jumaat lalu di Balestier Road, Sophia Road dan Orchard Towers dari 2.30 petang hingga 7 malam dengan 14 wanita dan seorang lelaki berusia antara 25 dengan 42 tahun disiasat atas beberapa kesalahan di bawah Piagam Wanita 1961.



Sekitar 3 petang, media diajak memasuki rumah kedai dua tingkat di Balestier Road, terletak antara dua kedai penjual produk hias dalaman rumah yang kononnya menawarkan khidmat urutan tradisional.



Dalam kedai malap yang diwangikan minyak haruman bunga, terletak sembilan bilik dipisahkan dengan dinding papan; tujuh di bawah dan dua di atas.



Bilik di tingkat bawah dipisahkan dengan lorong sempit yang hanya boleh dilalui seorang sahaja.



Lapan bilik rumah kedai itu dilengkapi katil dan tempat mandi kecil, beberapa botol sanitiser tangan, pelincir dan beberapa mekap serta solekan wanita.



Baki satu bilik di atas pula dilengkapi tiga tilam bersaiz queen serta sekurang-kurangnya 12 bagasi dengan pakaian dan kasut wanita digantung atau bersepah di lantai.



Seramai 11 wanita - ada yang berpakaian menjolok mata - dipercayai dari China kelihatan menghadap tembok sesudah diberkas polis di tingkat satu, sementara pegawai mengambil butiran identiti dengan pasport serta kenyataan daripada mereka.



Tiga lelaki dipercayai pelanggan berada dalam beberapa bilik, sedang disoal oleh pegawai polis tidak beruniform.



Seorang lagi lelaki - dipercayai warga China, kurus dan tinggi - sedang menyangkung dekat pintu masuk cawangan sempit itu, dipercayai adalah pengendali unit itu.



Polis juga merampas 20 telefon bimbit dengan beberapa nombor khusus, dipercayai diguna bagi menghubungi pelanggan untuk menawarkan khidmat seks.



Sejam setengah kemudian, 11 wanita itu serta lelaki dipercayai mengendali cawangan itu dibawa ke van polis untuk siasatan lanjut di balai.



Antara wanita tersebut, ada kelihatan menangis dan ada yang tidak menunjukkan sebarang perasaan.



Sesudah itu, media diajak ke satu unit kondominium 2-3 bilik di Sophia Road sekitar 5 petang, dengan seorang wanita ditangkap kerana didakwa mengiklankan khidmat seks dan 'urutan khas' dalam talian.



Setiap sesi berharga $120 berlangsung dua jam, menurut iklan yang disiar di laman Sglonelyguy, yang dilihat media.



Selain itu, satu alat dipercayai diguna bagi rawatan kulit dan beberapa sijil yang menunjukkan kelayakan profesional dalam perkhidmatan kecantikan didapati di dalam bilik kondominium itu selain sebuah katil.



Wanita itu kelihatan sugul, enggan menghadap polis dan duduk di lantai dengan rambut menutup wajahnya.



Media kemudian bergerak ke Orchard Towers sekitar 6.30 petang untuk meninjau dua kedai perkhidmatan urut badan yang dipercayai menawar khidmat seks secara sulit dan telah diserbu polis.



Kedai menawarkan khidmat maksiat itu memaparkan poster besar wanita Asia berpakaian terdedah dengan fesyen ala 90-an dekat pintu masuknya.



Di dalam premis kedai tersebut terdapat bilik di belakang kaunter pendaftaran yang dipisahkan menerusi tembok papan, dilengkapi katil dan lampu suram berwarna merah dan beberapa botol sanitiser dan pelincir.



Keadaan bilik dilengkapi minyak wangi berbau bunga mawar itu kelihatan tersusun namun terdapat kekotoran di dinding dan lantai dan sebahagian kertas hiasan di tembok sudah terkopak.



Beberapa bekalan makanan juga disimpan di kedua-dua premis kedai itu.



Dua wanita, 42 tahun, dipercayai Penduduk Tetap (PR) Singapura, masing-masing mengendali sebuah kedai di tingkat dua dan tiga telah ditangkap oleh polis.



Pengendali unit tingkat dua dipercayai berasal dari China, didakwa mengajak pelanggan dan menawar khidmat seks pada harga $200.



Penyewa di unit tingkat tiga pula, dipercayai berasal dari Kemboja, disyaki menawarkan khidmat berkenaan pada harga $150.



Meskipun dengan kehadiran media dan polis ketika itu, beberapa pelanggan kelihatan dari negara asing masih memasuki kedai-kedai serupa itu di Orchard Towers untuk membuat pertanyaan.



Operasi penguatkuasaan lain, namun tidak dibuka kepada media, turut dilaksana di Whampoa dan Beo Crescent, serta beberapa cawangan hiburan awam di Clarke Quay dan Orchard Road.



Timbalan Komander, Divisyen Tanglin, Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis (DAC) Teo Yee Lay berkata operasi dipimpin Divisyen Polis Tanglin di beberapa lokasi di Orchard Road, Balestier Road dan Clarke Quay dan merupakan sebahagian usaha polis yang sedang dijalankan agar kawasan awam serta tempat hiburan di sini kekal selamat.



"Kami akan terus mengekalkan kekerapan operasi dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang lain untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan haram.



"Pesalah akan dikendali dengan tegas berdasarkan undang-undang," kata beliau lagi.




SEKILAS OPERASI PENGUATKUASAAN



Tarikh Operasi: 24 September - 1 Oktober



Bilangan orang disiasat: 40 individu, berumur 20-81 tahun; 19 daripada mereka ditangkap



KEGIATAN JUDI HARAM



◆ Lokasi: Whampoa dan Beo Crescent



◆ Agensi terlibat: Kastam Singapura



◆ 17 individu, 62 - 81 tahun, disyaki terlibat dalam kegiatan judi haram



◆ Seorang lelaki, 60 tahun, disaman kerana memiliki rokok tanpa dibayar cukai.



◆ Wang lebih $4,600, satu telefon bimbit, empat batang rokok tanpa dibayar cukai dan barang judi lain dirampas



KEGIATAN MAKSIAT



◆ Lokasi: Unit komersial di Balestier Road, Orchard Road dan unit perumahan di Sophia Road.



◆ Agensi terlibat: Polis



◆ 14 wanita dan seorang lelaki, 25 - 42 tahun, ditangkap bagi kesalahan di bawah Piagam Wanita 1961



◆ Beberapa kondom dan 24 telefon bimbit dirampas



PENGUATKUASAAN CAWANGAN HIBURAN AWAM



◆ Lokasi: Orchard dan Clarke Quay



◆ Agensi terlibat: CID, CNB, SCDF, ICA dan Kastam Singapura



◆ 3 individu, 20-50 tahun, ditangkap kerana didakwa terlibat dalam kegiatan samseng.



- 1 individu, 27 tahun, ditangkap kerana didakwa melakukan kesalahan berkait penyalahgunaan dadah.



◆ 8 individu 21-44 tahun, diberi amaran, disiasat kerana miliki rokok tanpa dibayar cukai.



◆ 6 cawangan hiburan awam didapati langgar peraturan keselamatan kebakaran. SCDF akan melakukan penguatkuasaan lanjut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >