CUTI Krismas kembali lagi dan anda tidak perlu ke luar negara untuk menjadikan cuti hujung tahun ini sesuatu yang indah.
Berikut merupakan antara daya tarikan dan kegiatan menarik di Singapura yang boleh anda bawa anak-anak sempena Disember ini.
THE GREAT BAY FIESTA
Ruang Bayfront Event di Marina Bay sibuk dengan pelbagai kegiatan bagi merancakkan suasana sempena perayaan Krismas akan datang.
Antaranya, anda boleh merasai sendiri pengalaman bermain dalam suhu serendah kurang 15 darjah Celsius di taman permainan bertemakan musim sejuk terbesar di sini.
Seluas 2,400 meter persegi dan setinggi 4.5 meter, ia berbentuk nombor lapan dan diperbuat daripada ais.
Ia diukir oleh pakar pengukir ais dari Festival Harbin Ice di China.
Anda juga boleh mencuba bermain boling serta permainan 'curling' yang juga dikenali sebagai 'Catur Ais' dan merupakan sebuah sukan Olimpik Musim Sejuk.
Di mana: Ruang Bayfront, 12A Bayfront Avenue
Bila: Sehingga 1 Januari,
Masa: 10 pagi hingga 2 petang, 3 hingga 7 malam, dan 7 malam hingga 10 malam
Bayaran masuk: $25 bagi warga emas berusia 55 tahun ke atas, $35 bagi kanak-kanak berusia antara dua tahun dengan 12 tahun, $40 bagi pelajar tempatan dan $45 bagi orang dewasa.
Keterangan lanjut boleh didapatkan dengan melayari laman www.facebook.com/icemagicasia
GREAT CIRQUE DES CASCADES
Saksikan sarkas Great Cirque des Cascades selama 80 minit yang menampilkan lapan aksi sarkas dari Eropah di sebuah tempat yang boleh menempatkan sehingga 1,000 penonton.
Mereka yang beraksi termasuk penunggang motosikal yang akan melaksanakan koreografi kompleks dalam satu sangkar seluas lima meter.
Anda juga boleh jangkakan aksi tali skip sedang mereka meloncat setinggi enam meter.
Di mana: Ruang Bayfront, 12A Bayfront Avenue
Bila: Hari biasa pada 7 petang (tiada pertunjukan pada Isnin), pertunjukan tambahan pada Jumaat, 4:30 petang.
Bayaran masuk: Daripada $76 menerusi Trip.com. Masuk percuma bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah tetapi tiada tempat duduk disediakan.
Keterangan lanjut boleh didapatkan dengan melayari laman the-showmaster.com/TGBF