Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BAHAS BELANJAWAN: EHWAL MASYARAKAT ISLAM

Kehidupan dalam masyarakat berbilang agama

Mar 09, 2021 | 05:30 AM



ENCIK Faisal Manap menimbulkan beberapa isu yang akan cuba saya jawab. Saya ingin menyentuh bagi memastikan kita hidup harmoni dalam sebuah masyarakat majmuk dan berbilang agama, kita perlu membuat penyesuaian, sama seperti masyarakat lain.



Penyesuaian yang terpaksa dilakukan masyarakat kita sepanjang tahun lalu untuk mengatasi pandemik ini bukanlah mudah. Kita tenang menjalani Ramadan tanpa solat di masjid, tanpa bazar tahunan dan tanpa kunjungan Hari Raya berwarna-warni.



Bagaimanapun, inilah kisah masyarakat Melayu/Islam Singapura, yang menyumbang kepada negara sebagai sebuah Masyarakat Gemilang. Sentiasa menyesuaikan diri dan mencari huraian unik kepada cabaran-cabaran yang melanda.



Namun, cara kita menangani cabaran keagamaan dengan aman secara dalaman telah dimusnahkan.



Encik Faisal Manap awal sebelum ini menuntut agar jururawat dan mereka yang berkhidmat dalam perkhidmatan berseragam boleh dibenarkan memakai tudung. Kami memahami pandangan mereka yang mahu memakai tudung sebagai sebahagian daripada seragam sebagai jururawat.



Ramai wanita Muslim yang menyumbang secara bermakna dan berkhidmat kepada negara dan masyarakat menerusi pekerjaan mulia seperti kejururawatan, dan sumbangan mereka adalah besar, terutama dalam pandemik ini.



Dalam masyarakat berbilang agama kita, dalam perkhidmatan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat, seragam adalah petanda jelas bahawa khidmat yang diberikan adalah saksama tanpa mengira kaum atau agama.



Membenarkan tudung akan memperkenalkan petanda keagamaan yang amat ketara, mengenal pasti setiap jururawat wanita atau pegawai berseragam pemakai tudung sebagai seorang Muslim. Ini mempunyai implikasi penting - kita tidak mahu pesakit kita memilih atau tidak mahu memilih dirawat oleh jururawat Muslim. Kita juga tidak mahu orang ramai mempunyai tanggapan bahawa keselamatan awam dikuatkuasa oleh pegawai polis Muslim atau bukan Muslim.



Inilah yang membuat keputusan itu sukar, dan sensitif. Tekanan awam, agresif terhadap isu sedemikian akan hanya menjadikan penyelesaian lebih sukar. Apa juga langkah pemerintah terhadap tekanan keagamaan akan menyebabkan lain-lain kumpulan memberi perhatian dan menggunakan pendekatan agresif yang sama.



Kaum dan agama akan menjadi sesuatu yang memecah belah dan ini akan mengakibatkan kemudaratan untuk kita semua, khususnya masyarakat minoriti. Justeru, setelah membincangkan pertimbangan pemerintah dengan AP-AP PAP, kami bersetuju untuk mengambil pendekatan berhati-hati, perbincangan tertutup kerana kami memahami isu ini adalah rumit dan sensitif.



Bagi isu-isu sensitif seperti memakai tudung di tempat kerja di mana seragam adalah satu keperluan, kami terus berbincang dan mendekati masyarakat, terutamanya masyarakat kita, dalam sesi tertutup.



Saya ingin menegaskan sekali lagi, saya memahami terdapat sesetengah wanita Muslim yang mendapatinya sukar, pada peringkat tertentu kehidupan mereka, untuk terus kekal dalam pekerjaan mereka kerana mendapatinya sukar untuk memenuhi keperluan keagamaan dan tuntutan tugas.



Bagaimanapun, tempat kerja bahagian penting ruang bersama yang kita kongsi bersama warga Singapura yang lain, dan kita tidak seharusnya mengundurkan diri.



Sebagai sebuah masyarakat, kita telah tangkas menyesuaikan diri, dan pada masa yang sama terus mengamalkan agama kita. Mari kita ambil contoh masjid-masjid kita. Dengan sokongan pemerintah, kita telah membangunkan masjid-masjid di estet kejiranan dalam tahun-tahun sudah, bersebelahan kediaman warga Singapura berbilang kaum dan agama.



Kita telah melakukan penyesuaian, memberi pertimbangan kepada penduduk bukan Muslim yang tinggal berhampiran masjid, dengan merendahkan bunyi laungan azan dan melaungkannya ke dalam kawasan masjid. Azan juga berkumandang di saluran radio Melayu.



Sebagai warga Singapura, kita memahami dan menghormati kepercayaan dan amalan keagamaan satu sama lain. Beginilah caranya kita menyesuaikan diri sebagai sebuah masyarakat, tetapi ia tidak pula menghambat keimanan kita, sebaliknya membolehkannya semakin mekar. Hasilnya, masjid-masjid baru dapat terus dibangunkan di kejiranan kita.



Kesungguhan untuk melindungi keharmonian kaum dan agama ini selaras dengan ajaran Islam.



Saya menggesa masyarakat kita supaya memikirkan nilai keamanan dan keharmonian kepada diri kita sebagai Muslim. Saya menggesa semua untuk memelihara ini. Usahlah kita memberi tumpuan pada isu-isu yang memecah belah.




APA KATA MASAGOS



"Penyesuaian yang terpaksa dilakukan masyarakat kita sepanjang tahun lalu untuk mengatasi pandemik ini bukanlah mudah. Kita tenang menjalani Ramadan tanpa solat di masjid, tanpa bazar tahunan dan tanpa kunjungan Hari Raya berwarna-warni."



"Mari kita ambil contoh masjid-masjid kita. Dengan sokongan pemerintah, kita telah membangunkan masjid-masjid di estet kejiranan dalam tahun-tahun sudah, bersebelahan kediaman warga Singapura berbilang kaum dan agama."



"Justeru, kita mesti menghormati nilai-nilai sekular negara kita dan melindungi ruang bersama, dalam kita mencari huraian yang akan memenuhi aspirasi masyarakat."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >