Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Keindahan sastera Melayu dorong cita-cita jadi guru bahasa

Aug 05, 2022 | 05:30 AM



SEMASA kali pertama meneroka mata pelajaran sastera Melayu di maktab rendah (JC), Cik Qistina Muhamad Ja'afar mendapati dirinya sukar menikmati subjek itu kerana ia berbeza daripada sastera Inggeris yang dipelajari di sekolah menengah sebelum ini.



Namun lama-kelamaan, beliau mula jatuh cinta dengan keindahan sastera Melayu selepas membaca pelbagai cerpen dan sajak yang memberikan pengajaran kehidupan dan pengetahuan lebih mendalam tentang penggunaan bahasa Melayu.



Ini seterusnya mendorong beliau untuk bercita-cita menjadi seorang guru bahasa Melayu kelak supaya dapat berkongsi ilmu dan memupuk penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam anak-anak muda pada masa depan.



Cik Qistina, 19 tahun, berkongsi bahawa guru bahasa Melayu beliau di Yishun Innova JC, Cikgu Tetty Juliana Sujono, merupakan sumber inspirasi terbesarnya untuk menjadi seorang guru bahasa Melayu.



"Cikgu saya benar-benar mengubah perspektif saya mengenai bahasa Melayu… Pada mulanya, saya rasa malu dengan diri sendiri kerana saya tidak sedar bahawa bahasa ibunda kita ini penuh keindahan dan saya tidak menghargainya sebelum ini.



"Ini sebabnya saya ingin menjadi seorang guru supaya saya juga dapat mengubah perspektif generasi masa depan tentang bahasa Melayu, bahawa ia bukan sekadar satu subjek akademik yang terpaksa dipelajari tetapi ia membuka pintu bagi mereka mengenali lebih mendalam bahasa dan budaya Melayu," kata beliau.



Cik Qistina merupakan antara 103 individu yang menerima biasiswa dan anugerah guru di Majlis Penyampaian Biasiswa Guru anjuran Kementerian Pendidikan (MOE) di Orchard Hotel Singapore semalam.



Majlis itu, yang dihadiri tetamu terhormat Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, diadakan setiap tahun untuk mengalu-alukan penerima biasiswa dan anugerah guru ke dalam fraterniti pendidikan.



Cik Qistina menerima anugerah guru dan bakal melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang bahasa dan sastera Melayu di Universiti Teknologi Nanyang (NTU)-Institut Pendidikan Nasional (NIE).



Di bawah anugerah itu, MOE akan menaja, antara lain, yuran tuisyen universiti, elaun penyenggaraan, program pembangunan dan program pertukaran pelajar.



Setelah tamat pengajian kelak, Cik Qistina akan menjadi guru bahasa Melayu di sebuah sekolah rendah dan juga akan mengajar mata pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE).



Cik Qistina berharap apabila menjadi seorang guru kelak, beliau dapat memberi inspirasi yang sama kepada pelajarnya sepertimana guru beliau telah memberikan semangat dan motivasi kepada beliau untuk menikmati pembelajaran bahasa Melayu.



"Saya mahu melakukan yang sama untuk pelajar saya, di mana mereka datang ke kelas untuk belajar bukan kerana mereka terpaksa, tetapi kerana mereka ingin mengetahui lebih mendalam tentang subjek yang dipelajari.



"Saya berharap anak-anak muda akan belajar mencintai bahasa Melayu dan lebih menghargainya, kerana walaupun tiada salahnya belajar bahasa asing lain disebabkan globalisasi, adalah penting bagi kita orang Melayu sendiri mendakap dan memperjuangkan bahasa kita yang indah ini," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >