Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kelahiran bayi dibantu pemandu, penunggang basikal

Sep 17, 2021 | 05:30 AM



KEGIATAN berbasikal pada pagi hujung minggu yang biasa dilakukan sekumpulan lima sekawan sedikit luar biasa Ahad lalu.



Ketika mengayuh basikal di sepanjang Upper Thomson Road, mereka terdengar suara orang meminta tolong dan mencari doktor.



Kebetulan ada seorang doktor di kalangan mereka, lalu mereka berhenti untuk menghulurkan bantuan.



Lelaki yang meminta tolong itu ialah pemandu kereta sewa privet daripada aplikasi Tada, Encik Addy Soon.



Beliau mencari doktor untuk membantu penumpangnya yang sedang melahirkan anak dalam keretanya yang diberhentikan di tepi jalan.



Menceritakan kejadian itu kepada Berita Harian, Dr Chow Yuen Ho, 48 tahun, berkata: "Kami selalu berbasikal pada pagi Sabtu dan Ahad sebagai senaman. Dalam perjalanan ke arah utara, kami terdengar suara orang lelaki meminta tolong dan mencari doktor. Jadi kami berhenti."



Apabila doktor estetik itu sampai di kereta tersebut, bayi itu telah pun selamat dilahirkan.



Dr Chow, yang berpengalaman menyambut kelahiran bayi ketika bertugas di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) 20 tahun lalu, memeriksa pernafasan bayi itu dan juga segera melihat jam untuk menentukan masa kelahiran iaitu sekitar 6.18 pagi.



Penunggang basikal lain pula memberi air kepada bapa bayi itu, Encik Muhammad Annur Mohammad, bagi membersihkan tangannya yang berlumuran darah.



Dr Chow berkata, ini bukan kali pertama beliau menolong orang awam yang memerlukan bantuan di jalan raya.



"Apabila saya melihat kemalangan di jalan raya, saya akan berhenti untuk menghulur bantuan dan memastikan semuanya okay. Saya seorang doktor, jadi pada bila-bila masa saya dipanggil untuk berkhidmat, saya gembira membantu," katanya.



Malam ini, Dr Chow dan Encik Soon akan menemui keluarga Encik Annur di flatnya di Marsiling.



"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana membantu saya dan isteri. Saya cukup tersentuh dengan bantuan yang diberikan. Mereka adalah hero kami," katanya.



Encik Annur, 31 tahun, berkata air ketuban isterinya pecah sekitar 5.30 pagi tetapi pasangan itu tidak segera ke hospital.



"Kami memang memutuskan untuk tidak kelam-kabut bagi anak ketiga ini berdasarkan pengalaman lalu.



"Bagi kelahiran anak sulung dan kedua, kami segera ke hospital sebaik air ketuban pecah, dan terpaksa menunggu lebih 24 jam sebelum bayi dilahirkan.



"Jadi untuk anak ketiga, kami merancang untuk berlengah-lengah. Disebabkan itu, apabila isteri saya kata beliau rasa yang bayi seperti mahu keluar, saya tidak mengendahkannya," kata Encik Annur yang bertugas sebagai penghantar makanan.



Cik Mardhiah Abdul Malek, 31 tahun, menyuruh beliau menelefon ambulans untuk membawa mereka ke KKH tetapi Encik Annur menyarankan agar mereka menaiki kereta sewa privet.



Tidak lama selepas memulakan perjalanan ke hospital, isterinya mula meneran.



"Setelah tiga kali meneran, saya dapat merasakan kepala bayi sudah keluar. Saya mula-mula tak percaya kerana ia berlaku terlalu cepat, tetapi setelah melihat darah di tangan saya, saya minta pemandu hentikan kereta dan suruh beliau lakukan apa yang patut," kata Encik Annur, yang mempunyai dua lagi anak berusia tiga tahun dan satu tahun.



Encik Soon, 53 tahun, menghentikan kereta di perhentian bas dekat stesen MRT Springleaf di Upper Thomson Road dan menelefon ambulans.



Beliau kemudian berdiri di tengah-tengah jalan raya yang masih kosong dan menjerit meminta tolong sambil menyuluhkan lampu dari telefon bimbitnya untuk menarik perhatian sekumpulan penunggang basikal yang lalu di situ.



"Sementara itu, saya berada di dalam kereta dengan isteri dan menyambut kelahiran anak perempuan kami. Saya sebenarnya takut darah tapi pada waktu itu, saya terpaksa beranikan diri," katanya.



Encik Annur menambah, Dr Chow telah membantu menenangkan beliau dan isteri yang mula cemas melihat bayi mereka tidak menangis setelah dilahirkan.



Ambulans tiba tidak lama kemudian dan paramedik memotong tali pusat bayi itu sebelum membawa ketiga-tiga beranak itu ke KKH.



Cik Mardhiah dibenarkan pulang keesokan harinya, tetapi bayi mereka dipantau di hospital hingga kelmarin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >