Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:08
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

KES BUDAK MATI DIDERA

'Kelecuran budak kecil tidak jadi semakin teruk jika dapat rawatan segera'

Nov 16, 2019 | 05:30 AM

JIKA diberi rawatan lebih awal, keadaan budak lelaki berusia lima tahun yang disimbah air panas sehingga menyebabkan kematiannya tidak akan menjadi lebih mudarat.

Demikian menurut seorang pakar kelecuran semalam dalam perbicaraan ibu bapa budak lelaki itu yang dituduh membunuhnya.

"Waktu adalah amat penting dalam mengubati kelecuran yang teruk," kata Dr Gavin Kang daripada Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) apabila beliau memberi keterangan di mahkamah pada hari keempat perbicaraan.

Ibu bapa budak itu, Azlin Arujunah dan Ridzuan Mega Abdul Rahman, kededuanya 27 tahun, dituduh membunuh anak lelaki mereka dengan niat yang sama selepas menyebabkan kelecuran menggunakan air panas.

Mereka berdua juga menghadapi beberapa tuduhan lain kerana perbuatan mendera lain, termasuk mengurung budak lelaki itu di dalam sangkar kucing, mencubitnya dengan playar, dan memukulnya dengan penyapu.

Budak itu dirawat di KKH pada 22 Oktober lalu, selepas dia rebah di rumah setelah didera, namun meninggal dunia pada 23 Oktober, akibat luka yang dialaminya itu.

Dr Kang, yang telah merawat budak itu, mengesahkan bahawa budak itu berada dalam keadaan kritikal dengan kelecuran didapati pada sekitar 70 peratus tubuhnya, menurut laporan The Straits Times.

"Kelecuran itu tampak kotor dengan banyak habuk hitam, menunjukkan pesakit itu tidak menerima rawatan atau perubatan segera selepas kecederaan itu berlaku," ulas beliau.

Kelecuran melebihi 40 hingga 50 peratus pada tubuh seseorang dianggap mengancam nyawa, jelas Dr Kang.

Oleh kerana kulit kanak-kanak lebih tipis, kelecuran yang dialami adalah lebih mendalam berbanding orang dewasa yang mengalami kelecuran pada suhu dan waktu yang sama.

Dr Kang berkata adalah sukar untuk mengesahkan sama ada kelecuran yang terdapat pada tubuh budak lelaki itu disebabkan perbuatan satu kali atau beberapa kali.

Di mahkamah semalam, ahli psikologi, Cik Leung Hoi Ting, yang telah menjalankan penilaian intelektual terhadap Ridzuan dan membuat kesimpulan bahawa meskipun Ridzuan tidak mempunyai kecacatan intelektual, kecerdasannya adalah "sangat rendah hingga purata rendah".

Laporan daripada pakar psikiatri pembela yang telah membuat simpulan bahawa Ridzuan mengalami gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD), gangguan kemarahan seketika dan gangguan penggunaan hipnosis ketika itu.

Perbicaraan akan disambung Isnin ini.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian