SIASATAN Changi Airport Group (CAG) menunjukkan kelompok jangkitan Covid-19 baru bermula di pintu ketibaan penumpang dan dewan mengambil bagasi di mana kakitangan lapangan terbang berhubung rapat dengan penumpang.
Sekitar separuh kakitangan lapangan terbang yang diuji positif bagi Covid-19 didapati berada di kawasan ketibaan, memberi gambaran ruang di mana pekerja dan penumpang yang tiba mempunyai kontak rapat adalah "ruang jangkitan utama", kata Ketua Eksekutif CAG, Encik Lee Siow Hiang pada Isnin (24 Mei).
Mereka yang bertugas di ruang ini kemudian berinteraksi dengan individu lain yang bekerja di ruang transit, pintu keberangkatan dan pusat makanan Besmen 2 - "di mana profil risiko tiada bezanya daripada tempat lain di Singapura" - membawa pada pembentukan kelompok jangkitan sekunder (secondary) yang kemudian merebakkan koronavirus ini menjadi lebih 100 orang.
Menurut Encik Lee, zon lain "agak bersih".
"Sebagai contoh, ruang transit pusat ada sekitar 2,000 pekerja. Hingga hari ini, kami telah menjalankan ujian swab ke atas 97 peratus daripada mereka dan tiada kes dikesan kecuali kelompok khusus di mana siasatan kemudian menunjukkan terdapat percampuran kakitangan dengan mereka yang ada di zon ketibaan," jelas Encik Lee di sidang akhbar pada Isnin.
Sekitar 43 kes Covid-19 dikenal pasti dalam kalangan kakitangan lapangan terbang itu sejauh ini.