PEKERJA yang dijangkiti Covid-19 di Lapangan Terbang Changi rata-rata bekerja di satu zon yang menerima pengunjung dari negara yang berisiko lebih tinggi, termasuk Asia Selatan.
Menteri Pengangkutan Encik Ong Ye Kung pada Jumaat (14 Mei) berkata lapangan terbang itu mengenalpasti trend tersebut setelah mengkaji 20 lebih jangkitan awal dalam kelompok lapangan terbang itu.
"Kebanyakan (jangkitan ini) malah berkumpul di sekitar satu zon," kata Encik Ong.
"Ini adalah zon dengan tambangan jari (finger pier) yang menerima ketibaan (penumpang) dari negara berisiko lebih tinggi, termasuk Asia Selatan."
Tambangan jari adalah lanjutan yang terkeluar dari terminal itu, dengan ruang sendiri untuk penumpang menunggu kapal terbang.
Zon ini merangkumi tali sawat penyampai (conveyor belt) dan kawasan imigresen yang dilalui oleh penumpang, kata Encik Ong di sidang media oleh pasukan bertindak yang memerangi wabak Covid-19.
Zon tersebut serupa dengan Wad 9D di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), tempat beberapa orang pada mulanya didapati dijangkiti.
"Dari zon itu, pekerja pergi makan di kawasan komersial dan tempat makan di Besmen 2 Terminal 3, dan kami mengesyaki yang, dari situ, ia merebak ke orang awam yang mengunjungi tempat itu."
Lapangan Terbang itu kini dibahagikan ke zon dengan tahap risiko berbeza di mana kawasan berisiko lebih tinggi dikenakan langkah lebih ketat.
Pekerja di zon berisiko lebih tinggi bukan hanya perlu memakai peralatan perlindungan peribadi penuh, tetapi juga perlu makan dalam kawasan itu.
Secara keseluruhan, 28 pekerja lapangan terbang telah disahkan positif Covid-19 sejauh ini.
Pilih perkataan yang betul
1/3
< Kuiz sebelumnya
< Kuiz sebelumnya
27
0
Kelompok Lapangan Terbang Changi bermula dari zon yang terima pengunjung dari negara berisiko lebih tinggi
May 14, 2021 | 03:57 PM