Kelompok Zika di Serangoon Gardens: Apa anda perlu tahu tentang virus ini?

AGENSI Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengesahkan tiga kes jangkitan virus Zika di Hemsley Avenue di Serangoon Gardens, menjadikan jumlah kes Zika pada tahun ini menjadi 10 pada Jumaat lepas (13 September).

Pakar penyakit berjangkit menyatakan ia bukan sesuatu yang mengejutkan bahawa kelompok Zika telah muncul kembali, tetapi kemungkinan virus itu merebak secara meluas berada di paras yang rendah.

Kelompok zika terakhir yang dicatat di Singapura adalah pada Julai 2017.

Inilah yang perlu anda tahu tentang Zika.

1. APAKAH ITU VIRUS ZIKA?

Ia adalah jangkitan virus yang dijangkiti akibat gigitan nyamuk Aedes yang sudah dijangkiti.

Nyamuk Aedes juga membawa virus denggi dan chikungunya.

Secara amnya, ia merupakan penyakit ringan; empat dari lima orang yang dijangkiti Zika tidak menunjukkan sebarang kesan telah dijangkiti.

Namun, penyakit Zika merupakan satu penyakit berjangkit.

2. APA SIMPTOM-SIMPTOMNYA?

Antaranya: demam, ruam gatal, sakit badan, sakit kepala, mata merah, mual dan muntah.

Simptom ini biasanya berlaku dalam tempoh tiga hingga 12 hari selepas gigitan nyamuk itu, dan berpanjangan antara empat hingga tujuh hari.

3. BAGAIMANAKAH ZIKA BOLEH DIJANGKITI?

Lazimnya, virus ini dijangkiti apabila mangsa digigit oleh nyamuk Aedes yang dijangkiti.

Namun, jangkitan antara manusia juga satu kemungkinan- wanita hamil yang dijangkiti Zika boleh menjangkiti bayinya semasa tempoh kehamilan atau pada masa kelahiran. 

Virus Zika boleh juga dijangkiti semasa persetubuhan.

4. SIAPAKAH YANG MENGHADAPI RISIKO PALING BESAR?

Bayi dalam kandungan menghadapi risiko paling besar jika ibu mereka dijangkiti virus Zika. 

Antara 1 peratus hingga 10 peratus wanita yang dijangkiti semasa kehamilan melahirkan bayi yang kurang sempurna. 

Besar kemungkinan bayi yang dilahirkan menghadapi ‘microcephaly’, di mana bayi dilahirkan mempunyai kepala yang lebih kecil, dahi miring dan otak yang rosak.

5. VIRUS ZIKA ADA PENAWARNYA?

Pada masa ini, tiada penawar atau vaksin yang boleh menghapuskan Zika. 

Namun, simptom Zika boleh dirawat.

Untuk mengelakkan daripada dijangkiti, orang ramai digalakkan supaya menggunakan krim penghalau serangga dan memakai pakaian berlengan panjang.