Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Keluarga dibantu lepas ayah alami angin ahmar

Rakan pemandu Grab, AP dan pemimpin akar umbi divisyen Nee Soon Link gembleng tenaga hulur pelbagai bantuan
Jun 15, 2021 | 05:30 AM



BELIAU sentiasa cuba tidak melelapkan mata untuk menunggu suaminya pulang daripada kerja.



Pada pagi 20 Mei lalu, sedang Cik Nor Fadzilah bersengkang mata, suaminya pulang ke rumah mereka di Yishun pada 3 pagi setelah menyelesaikan syif 12 jam.



Sedang Encik Sham Laser, seorang penghantar GrabFood dan pemandu Grab selama lima tahun, bersiap sedia untuk tidur, Cik Fadzilah perasan suaminya lebih letih daripada biasa, tetapi tidak terlalu memikirkan hal itu.



Encik Sham, 45 tahun, tidur sehari suntuk, lebih lama dari biasa.



Bercakap kepada The New Paper baru-baru ini, Cik Fadzilah, 40 tahun, berkata:



"Suami saya terus tidur. Apabila saya tanya apakah beliau okey, beliau tidak dapat menjawab dengan betul pada mulanya, tetapi kemudian berkata beliau letih. Saya tidak fikir ia sesuatu yang serius.



"Pagi esoknya (Jumaat), beliau tidak boleh berdiri tanpa dibantu dan asyik jatuh ke tepi. Waktu itulah saya sedar ada sesuatu tidak kena."



Beliau menelefon ambulans dan Encik Sham dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), dan kemudian didapati mengalami angin ahmar.



Cik Fadzilah, seorang suri rumah, berkata: "Beliau jatuh koma hari itu. Doktor berkata beliau mempunyai darah beku di bahagian kiri otaknya, yang menyebabkan angin ahmar."



Encik Sham, pencari nafkah tunggal keluarganya, sedar daripada koma pada 31 Mei, tetapi terus berada dalam keadaan kritikal di KTPH.



Memikul tanggungjawab menjaga tiga anak berusia tujuh, sembilan dan 11 tahun, Cik Fadzilah mula-mula tidak tahu di mana beliau boleh mendapat bantuan, lebih-lebih lagi dengan perbelanjaan perubatan suaminya.



"Doktor berkata mereka masih perlu memantau keadaannya, jadi saya tidak pasti berapa lama beliau akan berada di hospital. Saya hanya tahu bilnya dianggarkan sekitar $18,000," ujar beliau.



Mendapat tahu tentang keadaannya, rakan kerja suaminya dan masyarakat menggembleng tenaga membantu keluarga beliau.



Rakan-rakan pemandu Grab Encik Sham membantu Cik Fadzilah menganjurkan kempen di Give.asia dari 26 hingga 28 Mei dan berjaya memenuhi sasaran derma $20,000.



Anggota Parlimen GRC Nee Soon Derrick Goh serta pemimpin akar umbi di divisyen Nee Soon Link pula membantu mengaturkan baucar bantuan makanan dan menyediakan sokongan kewangan menerusi Dana Bantuan Kecemasan North West.



Keluarga yang tinggal di flat sewa itu juga menerima bantuan menerusi Skim Bantuan Utiliti.



"Selain bantuan segera yang kami telah hulurkan kepada Cik Fadzilah, kami akan bersama menyokong keluarga itu pada jangka masa panjang. Contohnya, kami akan membantunya dalam hal peluang pekerjaan kerana beliau telah meluahkan keinginan bekerja pada masa akan datang," kata Encik Goh.



Menjawab pertanyaan TNP, jurucakap Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkata ia maklum tentang keadaan keluarga itu dan difahamkan bahawa Encik Sham sedang mendapat bantuan bagi perbelanjaan perubatannya, sementara anak-anaknya mendapat bantuan bagi perbelanjaan pendidikan mereka.



"Pejabat Khidmat Sosial kami telah mendekati keluarga itu, menawarkan sokongan dan bekerjasama dengan rakan masyarakat kita untuk memastikan keperluan asas dan perubatan Encik Sham serta keluarganya dipenuhi.



"Kami sedang mengendalikan permohonan mereka bagi bantuan ComCare," kata jurucakap itu.



Cik Fadzilah bersyukur atas sokongan yang diterimanya.



"Saya dan anak-anak saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua atas semua bantuan mereka. Saya tidak akan melupakannya," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >