SEAWAL 8 pagi semalam, Cik Norziah Mohamed Nooh dan anak bongsunya sudah berada di Bay East Garden bagi menyediakan beberapa stesen permainan bagi pesta keluarga anjuran Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML).
Walaupun berbangsa Melayu, keluarga Cik Norziah, 49 tahun, bergiat aktif dalam acara anjuran persatuan India/Muslim itu kerana ingin bermesra dengan rakan berbangsa lain serta mengetahui lebih tentang budaya mereka.
"Adalah suatu pengalaman yang sangat manis apabila dapat berjumpa mereka, menjalin hubungan dengan rakan baru dan belajar tentang cara hidup serta budaya mereka," kata Ain Abu Samah, anak Cik Norziah yang berusia 14 tahun.
Mereka mengendalikan stesen permainan campak bola dan lempar gelang.
"Saya rasa lebih ramai orang, terutamanya orang muda, perlu tampil secara aktif bagi mengetahui lebih tentang budaya dan bangsa lain," kata Ain lagi.
Menurut Cik Norziah, seorang ibu tiga anak, keluarganya diperkenal kepada SKML lebih lima tahun lalu kerana suaminya seorang pembantu sambilan di Masjid Mujahidin di Stirling Road, salah satu 'rakan kuat' SKML.
"Sewaktu Covid bila kami tak ada acara seperti ini, kami tetap menyertai acara tertentu, seperti menjadi relawan di masjid dan sebagainya," kata Cik Norziah.
"Bagi saya pun, kalau kami berkawan pun selalu dengan orang Melayu sahaja, jadi kami rajinkan dirilah untuk lebih mengetahui tentang bangsa lain dan pada masa sama dapat buat kawan baru," tambahnya.
Pesta Keluarga SKML, yang menarik sekitar 900 hadirin, bermatlamat matlamat merapatkan hubungan kekeluargaan dan memperkukuh masyarakat.
Diadakan setiap tahun sejak 15 tahun lalu kecuali sejak 2019 ekoran pandemik, tahu ini ia juga dilangsung sempena ulang tahun ke-82 SKML.