Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kemahiran insaniah diterap dalam sukatan pelajaran pendidikan vokasional baru

Pengamal industri akur kemahiran diperlu golongan berkeperluan khas, alu-alu langkah MOE
Jul 29, 2022 | 05:30 AM



LEBIH daripada setakat memberi tumpuan pada kemahiran praktikal, sukatan pelajaran Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Vokasional (VE TLS) baru yang bakal diperkenal di 20 sekolah pendidikan khas (Sped) mulai tahun depan akan turut menerapkan kemahiran insaniah yang diperlukan di tempat kerja.



Ini termasuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran seperti komunikasi, kebolehsuaian, penyelesaian masalah, dan pengurusan diri.



Kementerian Pendidikan (MOE) berkata VE TLS baru, yang diumumkan kelmarin, akan memberi penekanan lebih terhadap kemahiran insaniah demi menyediakan lulusan Sped bagi alam pekerjaan.



Semasa dihubungi Berita Harian, pengamal industri menyambut baik langkah tersebut, yang dianggap mereka sangat penting.



Pengasas hab pendidikan bagi pelajar berkeperluan khas MIJ, Cik Faraliza Zainal, berkata majikan menjangka lebih daripada hanya kemahiran praktikal daripada pekerja mereka.



"Kita sering ajar mereka (pelajar Sped) kemahiran asas seperti cara melakukan suatu pekerjaan... tapi perkara seperti kemahiran membuat pembentangan, komunikasi, misalnya apabila mereka memerlukan sesuatu atau mereka tidak tahu melakukan perkara tersebut, bagaimana meminta bantuan - ini semua kurang diajar," kata beliau.



Berkongsi pengalamannya sendiri melatih pelajar Sped di MIJ, Cik Faraliza berkata perkara yang dianggap mudah atau semula jadi bagi orang neurotipikal, seperti berbincang dalam kumpulan atau memperkenalkan diri sebelum membuat pembentangan, tidak datang secara semula jadi bagi golongan berkeperluan khas.



Oleh itu, kemahiran sebegitu mesti diajar kepada mereka, selaras dengan VE TLS baru yang akan menekankan pengajaran kemahiran insaniah secara sengaja dalam tetapan autentik.



Seorang jurulatih pekerjaan di Eden School, Cik Maisarah Jalaludin, yang sudah berkhidmat dalam industri pendidikan khas hampir tujuh tahun, berkongsi bahawa sebagai sebahagian VE, pelajar akan belajar bukan sahaja kemahiran praktikal, bahkan kemahiran insaniah seperti mendapatkan arahan dan menerima pembetulan.



Ini cukup penting, menurut Cik Faraliza, yang menambah bahawa segelintir pekerja berkeperluan khas tidak dapat menerima apabila kesalahan mereka ditegur, dan mereka akan bertindak balas, misalnya dengan menghentam pintu.



Dalam pada itu, sukatan pelajaran baru itu juga akan menerima pakai konsep kerja lebih luas dan lebih inklusif untuk mengiktiraf laluan kerja yang pelbagai bagi lulusan Sped.



Mengulas tentang hal tersebut, Ketua Pengarah Pendidikan, MOE, Cik Liew Wei Li, berkata:



"Yang membuat sukatan pelajaran ini istimewa ialah ia berdasarkan keyakinan bahawa setiap pelajar Sped berkemampuan sepenuhnya menyumbang kepada masyarakat kita.



"Kami melihat kerja lebih daripada sekadar pekerjaan untuk mencari rezeki. Kerja ialah sumbangan bermakna kepada keluarga dan masyarakat."



Presiden Pusat Sumber Autisme, Cik Denise Phua, berkata pendidikan vokasional bahagian penting dalam pendidikan khas, dan pelancaran sukatan pelajaran VE baru itu hanya satu permulaan bagi perjalanan pembelajaran sepanjang hayat yang sangat penting.



"Kerja adalah penting dalam kehidupan seseorang. Bekerja untuk mendapat gaji membantu dalam kebebasan kewangan seseorang, tetapi dibayar atau tidak dibayar, kerja membolehkan seseorang menyumbang kepada orang lain dengan cara yang berbeza dan menjadi sebahagian daripada masyarakat.



"Justeru, memahami konsep kerja dan bersedia untuk kerja yang melibatkan pembangunan kemahiran praktikal dan insaniah adalah penting," kata Cik Phua.



Namun, disebabkan keperluan berbeza setiap pelajar Sped, rancangan pengajaran dan pembelajaran bagi mereka juga harus disesuaikan berdasarkan kemampuan dan kekuatan masing-masing, kata Cik Maisarah.



"Ia sebenarnya melibatkan kerjasama mendalam antara guru, jurulatih pekerjaan dan kadang-kadang ahli terapi lain, supaya kita boleh mengusahakan kemahiran sosial yang ingin kita sampaikan dalam konteks bilik darjah dan di tempat kerja.



"Kita perlu memastikan ada pendekatan konsisten apabila kita mengajar pelajar, menggunakan bahan sama, menggunakan strategi yang sesuai untuk mereka," ujarnya.




"Kami percaya bahawa semua pelajar dengan keperluan pendidikan khas... boleh belajar dan menyumbang secara bermakna dalam cara mereka sendiri. Setiap pelajar boleh menjadi anggota yang dihargai di rumah dan dalam masyarakat. Guru sekolah Sped dan pembangun kurikulum MOE telah berganding bahu membangunkan sukatan pelajaran yang akan memenuhi dan menyediakan pelajar dengan profil keperluan yang berbeza untuk mencapai aspirasi, minat dan matlamat peribadi mereka. Adalah menjadi harapan saya bahawa sukatan pelajaran VE baru ini akan membuka jalan kepada peluang yang lebih inklusif bagi pelajar kami menjalani kehidupan yang memuaskan melalui sumbangan yang dihargai di rumah, masyarakat dan di tempat kerja."
- Dr Mohamad Maliki Osman, Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), mengenai Sukatan Pelajaran Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Vokasional (VE TLS) baru yang akan dilaksana di 20 sekolah pendidikan khas (Sped) mulai Januari 2023. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >