Kemahiran tangani kepelbagaian dalam agama diperlukan

Yaacob: Cara perbezaan ditangani memaparkan kematangan sebagai sebuah masyarakat yang kukuh

Ikuti bahagian kedua temu bual Berita Minggu bersama Menteri Perhubungan dan Penerangan yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, di bangunan Perpustakaan Negara baru-baru ini. Bahagian pertama yang memberi tumpuan kepada tugas beliau di Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) telah diterbitkan semalam. NUR ADILAH MAHBOB (adilaham@sph.com.sg) melaporkan.

MASYARAKAT Melayu/Islam perlu membangunkan satu kemahiran baru untuk menangani kepelbagaian orientasi agama dalam masyarakat.

Menyatakan demikian, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berkata keperluan ini timbul sedang kepelbagaian dalam masyarakat kini semakin ketara, meskipun ia bukan sesuatu perkara baru.

"Selama ini, memang kita sebuah masyarakat yang rencam, dengan orang ramai daripada pelbagai latar belakang yang datang ke Singapura tetapi ia kini lebih ketara, khususnya dalam masyarakat sendiri. Marilah kita berterus terang dalam hal ini," kata Dr Yaacob.

Meskipun majoriti masyarakat Islam di sini berfahaman Sunni, ada juga sebilangan yang berfahaman Syiah, kata Dr Yaacob.

Misalnya, masyarakat Dawoodi Bohra yang berfahaman Syiah telah lama hidup secara aman di negara ini.

Bahkan, golongan Syiah menjadi sebahagian daripada masyarakat Islam setempat, menunaikan sembahyang di masjid di sini, menyambut Hari Raya bersama, dan menyumbang kepada Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF).

"Mereka juga orang Islam," kata Dr Yaacob.

Beliau turut memberi contoh individu Muslim Syiah, peguam Mirza Mohamed Namazie, yang merupakan pengerusi Masjid Moulana Mohamed Ali di UOB Plaza, Raffles Place.

Anggota lain lembaga masjid itu pula merupakan Muslim Sunni.

Oleh itu, masjid tersebut merupakan satu contoh cara perbezaan ditangani.

"Cara kita menangani perbezaan ini akan memaparkan kematangan kita sebagai sebuah masyarakat yang kukuh," ujarnya.

Pada asasnya, masyarakat perlu memelihara keharmonian kaum dan agama di Singapura, dan mewujudkan suasana yang saling menghormati perbezaan dan orientasi dalam agama Islam itu sendiri.

Walaupun ramai dalam masyarakat, termasuk asatizah mapan, yang menerima adanya perbezaan ini, ada anggota masyarakat yang menentangnya.

"Kita perlu berfikiran terbuka, menghayati perbezaan dan mempunyai sikap ingin tahu tentang orang lain.

"Jika minda kita tertutup dan percaya dunia kita sahaja yang betul, kita akan mempunyai masalah. Ini sesuatu yang perlu kita pupuk daripada usia muda lagi," ujarnya.

Oleh itu, Dr Yaacob menggariskan perlunya membangun satu kemahiran baru dalam masyarakat untuk mengatasi perbezaan ini.

Sememangnya, masyarakat Melayu/Islam telah menyesuaikan diri dan membangun pelbagai kemahiran dari masa ke masa untuk memenuhi keperluan yang timbul.

Dr Yaacob memberi contoh kesan kejadian serangan pengganas bertopeng Islam pada 11 September 2001 di Amerika Syarikat ke atas masyarakat Islam di Singapura waktu itu.

"Selepas 911, masyarakat kita membangun kemahiran baru untuk menjelaskan Islam kepada orang bukan Islam. Sebelum itu, ia bukan sesuatu yang perlu kita lakukan," ujarnya.

Oleh itu, masyarakat membangunkan institusi seperti Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) bagi mengatasi fahaman pelampau dan Pusat Harmoni yang menerangkan Islam kepada orang bukan Islam.

Dr Yaacob menarik perhatian tentang kepelbagaian dalam masyarakat sebagai antara cabaran yang akan terus dihadapi masyarakat.

Dalam pada itu, beliau akur masyarakat masih menghadapi isu sosial seperti cabaran keluarga pincang, masalah dadah, dan perceraian.

Kata Dr Yaacob lagi, cabaran ini akan sentiasa ada kerana ia berkaitan dengan pilihan yang diambil individu tetapi usaha untuk terus mengurangkannya perlu diteruskan.

"Soalannya adalah, apakah usaha kita sejauh ini cukup pantas dalam membuahkan hasil? Namun, saya tidak berburu-buru.

"Saya yakin kita akan terus mengatasi masalahnya, di samping terus meningkatkan pencapaian kita dalam pelbagai aspek lain," kata beliau.

"Cara kita menangani perbezaan ini akan memaparkan kematangan kita sebagai sebuah masyarakat yang kukuh... Kita perlu berfikiran terbuka, menghayati perbezaan dan mempunyai sikap ingin tahu tentang orang lain. Jika minda kita tertutup dan percaya dunia kita sahaja yang betul, kita akan mempunyai masalah. Ini sesuatu yang perlu kita pupuk daripada usia muda lagi."

- Dr Yaacob Ibrahim.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:12
Isyak
8:28
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.