WAWANCARA BM BERSAMA K. SHANMUGAM

Kemajuan positif Melayu ketara

Pencapaian atas kebolehan masyarakat; dan semakin menyeluruh

PEMERINTAH boleh mengambil pendekatan melaksanakan tindakan khas atau affirmative action dengan melantik individu daripada masyarakat minoriti memegang jawatan penting seperti setiausaha tetap di kementerian atau jeneral di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Bagaimanapun, individu sedemikian tidak akan mempunyai kewibawaan untuk menjalankan tugas mereka, malah ia akan mengundang reaksi balas daripada masyarakat lain.

Langkah sedemikian ibarat gimik semata-mata. Sebaliknya, strategi yang telah diusahakan - yang mendorong kemajuan masyarakat secara menyeluruh - merupakan sesuatu yang lebih bermakna.

Berkata demikian, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, merujuk kepada pendapatan keluarga Melayu yang meningkat sejak lebih tiga dekad lalu.

Sebagai contoh, pendapatan median keluarga Melayu pada 1980 kurang daripada $800. Jumlah itu meningkat kepada $5,340 pada 2015 - satu peningkatan lebih enam kali ganda.

Dalam tempoh yang sama, lebih 30 peratus penduduk Melayu tinggal di flat satu dan dua bilik. Kini, majoriti atau 30.8 peratus tinggal di flat lima bilik dan eksekutif.

Encik Shanmugam juga menarik perhatian bahawa kemajuan tersebut turut dapat dilihat dalam bidang pendidikan. Pada 1990, hanya 36 peratus murid Melayu daripada kohort darjah satu berjaya ke peringkat posmenengah. Jumlah itu melonjak kepada 93 peratus pada 2015.

"Ini kemajuan yang berterusan, ia mengambil masa tetapi seluruh masyarakat maju bersama," ujarnya.

Beliau menambah:

"Jika 30 tahun lalu, pemerintah berkata 'baiklah, kami melantik itu, kami melantik ini (daripada masyarakat Melay)', ia tidak mengangkat kemajuan masyarakat secara keseluruhan."

Kemajuan menggalakkan yang dicapai itu, kata Encik Shanmugam, boleh digunakan sebagai asas mendorong kelas pertengahan mencapai puncak kejayaan.

"Kita perlu berusaha membantu masyarakat maju lagi, mencapai punjak kejayaan kerjaya mereka - golongan saintis, doktor, jurutera - kita harus mendorong kemajuan mereka.

"Terdapat kemajuan yang positif. Keluarga Melayu kini lebih berjaya, anak-anak Melayu juga lebih berjaya. Terdapat lebih ramai golongan pertengahan, tapi ia belum mencukupi," katanya lagi.


JAMINAN PEMERINTAH

"Pemerintah ini menjamin (keselamatan, perlindungan dan kebebasan beragama kepada semua)... saya berharap pemerintah pada masa depan akan terus komited memberi jaminan tersebut. Begitu juga dengan penduduk. Setiap generasi perlu bersatu dan memegang nilai-nilai ini. Saya dan anda mempunyai tanggungjawab bagi memastikan generasi muda dipupuk dengan nilai tersebut. Anda juga mempunyai peranan penting memastikan anda memilih pemimpin yang betul untuk memerintah negara."

Galeri Foto