Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kematian anggota NS dalam nahas Bionix: Kapten SAF dijel lima bulan

Feb 25, 2022 | 06:50 AM



SEORANG kapten Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang terlibat dalam kemalangan kenderaan tempur infantri Bionix berundur dan menaiki sebuah kenderaan Land Rover, hingga membunuh pemandunya, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan semalam.



Hakim Daerah Jasvender Kaur sebelum ini mensabitkan kesalahan Ong Lin Jie, kini 30 tahun, melakukan perbuatan terburu-buru hingga menyebabkan kematian seorang anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF), Koperal Kelas Pertama (CFC) Liu Kai, 22 tahun, lapor The Straits Times.



Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Kaur ambil perhatian bahawa niat Ong semasa kejadian itu ialah mengubah kedudukan kenderaan tersebut.



"Ini tidak membetulkan keputusan terburu-buru itu," kata beliau.



Tragedi itu berlaku ketika satu latihan yang dijalankan Batalion Ke-42 Rejimen Berperisai Singapura pada 3 November 2018.



Ong, yang berada dalam kenderaan Land Rover ketika itu, didapati melakukan tindakan terburu-buru dengan gagal menjaga jarak selamat 30 meter antara kenderaan tersebut dengan Bionix itu, dan menyuruh CFC Liu, yang memandu Land Rover itu, memotong Bionix tersebut.



Kapten SAF itu, yang pada masa itu adalah jurulatih platun di Pusat Latihan Unit Perisai di Institut Latihan Perisai, memberi arahan agar Land Rover tersebut bergerak ke hadapan walaupun tidak selamat untuk berbuat demikian dan tanpa terlebih dahulu berkomunikasi dengan Bionix itu.



Dalam penghujahan mereka tahun lepas, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hay Hung Chun, Zhou Yihong, Angela Ang dan Benedict Chan berkata peraturan jarak keselamatan 30 meter adalah "satu prinsip keselamatan utama" yang diajar kepada semua komander dalam formasi perisai, termasuk Ong, dan ditekankan semula semasa taklimat keselamatan sebelum semua latihan perisai.



Pihak pendakwa juga menegaskan bahawa tujuan mengekalkan jarak keselamatan itu ialah bagi memastikan semua pihak mempunyai masa reaksi yang mencukupi untuk mengelakkan sebarang kemungkinan perlanggaran.



DPP Hay menggesa mahkamah semalam supaya menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atas, Ong, sambil menegaskan bahawa pegawai SAF itu sepatutnya berpegang pada prinsip keselamatan tetapi sebaliknya melanggarnya.



Peguam bela R. Thrumurgan daripada Trident Law, bagaimanapun, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap anak guamnya.



Selepas hukuman dijatuhkan, mahkamah diberitahu bahawa Ong akan merayu terhadap keputusan hakim dan ikat jaminnya ditetapkan sebanyak $15,000.



Pesalah yang menyebabkan kematian dengan melakukan perbuatan terburu-buru boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun dan denda.



Dalam satu kenyataan menyusuli sabitan kesalahan Ong November lalu, Kementerian Pertahanan berkata: "(SAF) telah mengingatkan komander bahawa mereka bertanggungjawab terhadap keselamatan kakitangan di bawah tanggungjawab mereka dan mesti mematuhi peraturan keselamatan latihan.



"Mereka yang cuai atau melanggar peraturan keselamatan latihan boleh menghadapi pendakwaan di bawah undang-undang atau rangka kerja tatatertib SAF."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >