Kematian anggota SCDF: Bukan perenang mungkin tidak tahu bertindak jika berada dalam kolam secara tidak sengaja

 

Apabila memasuki kolam, seseorang yang tidak tahu berenang mungkin tidak tahu untuk menghela nafas sebelum berbuat demikian, dan selanjutnya menghembus nafasnya apabila berada di dalam air.

Justeru, beliau boleh menelan air dalam keadaan itu.

Ahli patologi forensik George Paul berkata demikian semasa memberi kenyataan di mahkamah pada Jumaat (14 Jun) dalam perbicaraan dua komander Pasukan Pertahanan Awam  Singapura (SCDF) berhubung insiden anggota perkhidmatan negara sepenuh masa Koperal Kok Yuen Chin yang mati lemas semasa insiden ragging, atau perbuatan menyakat yang ektrem.

Dr Paul, yang melakukan autopsi ke atas Koperal Kok, berkata ada perbezaan antara reaksi seseorang yang memasuki kolam secara sengaja atau tidak.

Jika perbuatan itu tidak dijangka, ia boleh menyebabkan respons yang menyebabkan seseorang bernafas dalam air, kata Dr Paul, yang menambah ada salah tanggapan bahawa seseorang akan terapung apabila memasuki kolam.

“Badan terapung kerana ia mula mereput. Jika seseorang boleh tread water… beliau akan timbul. Tapi jika tidak… air akan memasuki peparu dan beliau kian tenggalam dalam air, dan mungkin tidak akan timbul,” kata Dr Paul.

Pada 13 Mei tahun lalu, Koperal Kok, seorang warga Malaysia dan penduduk tetap Singapura ditolak ke dalam sebuah perigi pam di Balai Bomba Tuas View - antara kegiatan bagi meraikan tarikh kelengkapan perkhidmatan negara Koperal Kok.

Dalam laporannya pada 14 Mei, Dr Paul berkata pemuda berusia 22 tahun itu mati lemas.

Dua pegawai yang dibicarakan - Kenneth Chong Chee Boon, 38 tahun, seorang leftenan, dan Nazhan Mohamed Nazi, 40 tahun, seorang pegawai waran kanan pertama, masing-masing menyandang jawatan komander rota dan timbalan komander rota semasa kejadian itu.

Chong dan Nazhan masing-masing dituduh membantu perbuatan terburu-buru yang menyebabkan kecederaan parah kerana gagal.

Perbicaraan itu masih berlangsung.