Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kematian budak terjatuh dari flat 'kemalangan menyedihkan': Koroner

Aug 03, 2016 | 10:14 AM



SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun jatuh dari tingkap balkoni sebuah flat tingkat empat di Serangoon North Avenue 4 awal tahun ini semasa ditinggalkan sendirian di rumah.



Nur Syahamah Syahrom meninggal dunia 24 hari kemudian akibat radang paru-paru berpunca daripada kecederaan traumatik pada kepalanya.



Semasa siasatan koroner pada Selasa (2 Ogos), mahkamah diberitahu bahawa nenek Allahyarhamha biasanya membawanya bersama pergi mengambil adik-beradiknya dari sekolah.



Tetapi pada 20 Jan itu, Cik Manisah Subakin, 66 tahun, tidak mahu mengejutkan Allahyarham yang sedang tidur.



Beliau meninggalkan flat itu pada kira-kira 12.20 tengah hari selepas mengunci pagar dan menutup pintu utama. Apabila pulang kira-kira 15 minit kemudian, Cik Manisah ternampak cucunya itu di kaki blok.



Di dalam flat itu, bantal yang beliau jemur di tebing balkoni berada di lantai dan bangku yang biasanya diletak di ruang makan berada di bawah tingkap.



Semua tingkap flat itu - kecuali di balkoni - mempunyai jeriji.



Cik Manisah memberitahu polis Allahyarhamha suka berdiri di atas katil neneknya untuk melihat keluar tingkap. Walaupun ia mempunyai jeriji, beliau memberitahu cucunya supaya jangan membuka tingkap.



Allahyarhamha dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng dengan kecederaan otak dan patah tengkorak trauma teruk. Dia menjalani pembedahan kecemasan tetapi prognosisnya sangat lemah kerana tekanan pada otak yang disebabkan oleh kecederaan.



Allahyarhamha dipindahkan ke unit rawatan rapi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK pada hari sama. Kanak-kanak itu meninggal dunia pada 13 Feb.



Dalam penemuannya, Koroner Negara Marvin Bay berkata Nur, anak bongsu daripada lima adik-beradik, nampaknya mahu keluar dari flat itu untuk mencari neneknya.



"Mendapati dirinya dikunci di dalam, dia mungkin pergi ke tingkap balkoni yang tidak mempunyai jeriji, yang terbuka sedikit untuk menjemur bantal," katanya.



Nur kemungkinan besar meletak bangku itu di bawah tingkap balkoni dan memanjat ke tebing balkoni, sebelum terjatuh ke luar tingkap, katanya.



"Oleh itu, kematiannya adalah satu kemalangan menyedihkan," kata Encik Bay.



Menyebut tentang persamaan sedih kejadian itu dengan satu kes seorang budak lelaki berusia empat tahun terjatuh dan maut selepas ditinggalkan sendirian di rumah, Koroner Bay berkata kanak-kanak secara semula jadi bersifat ingin tahu dan suka meneroka persekitaran mereka.



"Kanak-kanak mungkin belum memahami risiko, dan kecenderungan mereka melakukan perkara tidak disangka dan berbahaya tidak boleh dijangka secukupnya. Bahaya meninggalkan kanak-kanak sendirian di rumah tidak boleh dipandang remeh," katanya.



Beliau berkata kematian menyedihkan Nur menekankan peri penting memasang jeriji dan menutup tingkap untuk mengelakkan kejadian terjatuh, dan juga mengambil langkah-langkah wajar lain bagi menjadikan rumah selamat sepenuhnya bagi kanak-kanak.



Bapa Allahyarhamha menghadiri siasatan itu pada pagi tetapi tidak hadir apabila keputusannya disampaikan sebelah petang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >