SEORANG lelaki semalam dituduh membunuh adik perempuan remajanya, setelah dia dikenakan satu tuduhan menyebabkan kecederaan teruk dengan sengaja terhadapnya.
Huang Bocan, 29 tahun, dan dua lagi - Chee Mei Wang, 41 tahun dan Lim Peng Tiong, 62 tahun - kini menghadapi tuduhan yang ditingkatkan menjadi tuduhan membunuh.
Ketiga-tiganya dikatakan membunuh adik perempuan Huang Bocan, Cik Huang Baoying, dengan "menyebabkan kecederaan badan" di sebuah flat di Blok 602 Clementi West Street 1 sekitar 10 malam pada 4 Mei.
Menurut laporan The Straits Times, maklumat lanjut mengenai kecederaan dan kemungkinan senjata yang digunakan tidak dinyatakan dalam tuduhan membunuh.
Awal tahun ini, ketiga-tiga individu itu pada awalnya didakwa secara sukarela menyebabkan kecederaan yang teruk kepada remaja itu di flat yang sama.
Mereka kemudian dituduh memukulnya dengan batang kayu sekitar 11 malam pada 4 Mei.
Pesalah yang dihukum dengan kesalahan membunuh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat.
Kesalahan yang menyebabkan kecederaan boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun serta didenda atau hukuman sebat.
Chee dan Lim tidak boleh disebat, kerana Chee adalah seorang wanita sementara Lim berusia di atas 50 tahun.
Huang dan Lim adalah warga Singapura, sementara Chee adalah penduduk tetap Singapura.
Huang diwakili oleh peguam Josephus Tan dan Cory Wong dari Invictus Law Corporation. Chee diwakili oleh Encik Azri Imran Tan dari I.R.B. Law, sementara Lim diwakili oleh peguam Kate Loo dan Morgan Lee dari Ling Law Corporation.
Dokumen mahkamah tidak menyatakan hubungan antara Lim, Chee dan remaja itu.
Rekod dari Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) menunjukkan bahawa Lim adalah salah satu daripada dua pemilik flat tempat mayat ditemui.
Dalam kenyataan sebelumnya, polis mengatakan bahawa mereka telah diberitahu mengenai kes itu sekitar 6.30 pagi 5 Mei.
Pegawai polis kemudian menemui mangsa terbaring dalam keadaan tidak sedar. Beliau diisytihar meninggal dunia di tempat kejadian.
Apabila wartawan mengunjungi unit itu awal pagi semalam, seorang lelaki berusia 40-an tahun dilihat meninggalkan flat tiga bilik itu dengan beebrapa surat.
Lebih 12 pegawai polis berada di tempat kejadian dari sekitar 7 pagi kelmarin, menurut jiran-jiran.