Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Kembali curah bakti, setelah pernah terima bantuan

Karyawan bidang biofarmaseutikal bimbing pelajar ITE yang ingin teroka bidang sama
May 27, 2023 | 05:30 AM



APABILA mendapat surat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Badruddin Mohamad Sidek, sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS).


Ekoran risau tentang yuran pengajian yang mencecah hampir $9,000 setahun, Encik Mohamad Badruddin malah mempertimbangkan mengambil pinjaman wang.

Menjelang akhir menjalani NS pada 2012, beliau menerima pengesahan berjaya memperolehi subsidi yuran tuisyen yang ditadbir Yayasan Mendaki.


Pada saat itu, beliau berasa seperti bebanan berat yang dipikul ibu bapa dan juga dirinya diangkat.

Sehingga sekarang, Encik Mohamad Badruddin masih ingat perasaan lega itu kerana berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi tanpa sebarang masalah kewangan.

Detik itu telah mendorong beliau untuk memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran sehingga berjaya menggenggam ijazah sarjana muda dari NTU dalam kejuruteraan kimia dan biomolekular selain ijazah sarjana dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang keselamatan, kesihatan dan alam sekitar pula.


Kini, Encik Mohamad Badruddin Mohamad Sidek berbakti semula melalui program bimbingan Yayasan Mendaki dan MSD Pharma #amPowered@ITE.

Beliau pernah menerima subsidi yuran tuisyen 100 peratus sepanjang pengajian empat tahun.

“Subsidi tersebut banyak membantu saya dan keluarga kerana ibu bapa saya tidak perlu risau tentang kewangan dan saya dapat memberikan tumpuan penuh kepada pembelajaran saya.

“Ini telah membantu mengurangkan tekanan kepada keluarga saya,” kata beliau.

Menurut beliau, subsidi yuran tuisyen Yayasan Mendaki banyak membantunya. Ia membolehkan Encik Mohamad Badruddin dapat memberikan tumpuan kepada kegiatan sekolah lain seperti program luar negara.

“Ibu bapa saya memang pastikan bahawa saya dan adik-beradik tidak perlu risau tentang hal kewangan tetapi sebagai anak, memang kami akan fikirkan tentang yuran dan sebagainya.

“Jadi apabila saya dapat tahu saya layak untuk mendapat subsidi penuh, memang saya rasa lega,” jelas Encik Mohamad Badruddin, 33 tahun, yang juga bapa dua orang anak.

MANFAAT PROGRAM BIMBINGAN

Kini, beliau merupakan pakar keselamatan dan persekitaran di MSD Pharma (Singapura) yang memastikan keselamatan lantai pengeluaran syarikat tersebut.

Encik Mohamad Badruddin merupakan antara 100 karyawan MSD Pharma (Singapura) yang akan mendampingi sekitar 120 pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di bawah program yang baru dilancarkan tahun ini.

Menurut Encik Mohamad Badruddin, setiap mentor akan menerima dua atau tiga pelajar dan program tersebut dijangka berlangsung selama sembilan bulan.

“Di dalam sesi-sesi saya bersama para pelajar, saya banyak berkongsi pengalaman bekerja, menasihati dan menjawab pertanyaan mereka,” ujar beliau yang sudah bekerja bersama MSD Pharma (Singapura) selama tujuh tahun.

Beliau akur bahawa program bimbingan seperti itu penting dalam pembangunan seseorang.

Bagi Encik Mohamad Badruddin sendiri, setelah mendapat bimbingan daripada seorang mentor di tempat kerja, beliau berasa lebih yakin.

Ini kerana beliau dapat mengajukan sebarang pertanyaan dan bimbingan yang diterima pula lebih tertumpu.

“Tak semua orang mempunyai keluarga atau rakan yang mempunyai pengalaman dalam industri yang mereka minati.

“Dengan program seperti ini, pelajar mendapat peluang untuk merujuk kepada mentor yang lebih berpengalaman,” tambah Encik Mohamad Badruddin yang bertemu pelajarnya sekali setiap bulan.

Beliau berharap sesi bimbingannya dapat membantu para pelajar berfikir tentang masa depan dan tidak terbeban dengan kerisauan mereka.

Kesemua menti beliau merupakan pelajar jurusan mekanikal dan elektronik yang juga berpeluang meneroka bidang biofarmaseutikal bersama MSD Pharma (Singapura).

Dengan pengalaman dalam industri ini, Encik Mohamad Badruddin juga dapat berkongsi dengan lebih mudah tentang cabaran kerjayanya.

BIMBINGAN LUAR JURUSAN SENDIRI

Program bimbingan ini juga memberi para pelajar ruang untuk meneroka minat dan mencari kekuatan mereka.

Walaupun industri biofarmaseutikal merupakan satu bidang berpotensi untuk pelajar, para mentor juga memberi nasihat dan pertolongan di luar jurusan itu.

Menurut Encik Mohamad Badruddin, panduan daripada Yayasan Mendaki bagi para mentor sangat berkesan bagi memastikan bimbingan dilakukan secara sistematik.

“Sesi-sesi dirancang dengan begitu teliti dan saya rasa sesi-sesi saya bersama para pelajar amat bermakna.

“Kadang-kadang, kami akan meneroka dan membina kemahiran insani seperti cara bertutur dan memupuk keyakinan diri. Kemahiran-kemahiran ini sebenarnya amat penting dalam pembangunan individu kerana ia merupakan asas dalam pembangunan,” ujar beliau.

Beliau juga turut berkongsi bahawa tidak semua pelajarnya berminat dalam bidang biofarmaseutikal tetapi itu bukan satu hambatan untuk menghulur bantuan.

Sekiranya diajukan soalan di luar pengetahuannya, Encik Mohamad Badruddin akan merujuk kepada mereka yang lebih memahami.

“Saya mempunyai seorang pelajar yang sangat pendiam dan enggan berkongsi tentang dirinya tapi lama-kelamaan, beliau mulai mempercayai saya dan mula berkongsi tentang minat dan masalahnya.

“Saya cukup bangga dengan perkembangannya kerana saya mahu mereka berkembang secara holistik dan bukan sahaja dari segi jurusan mereka.

“Pembangunan dari segi keyakinan diri itu sahaja sudah merupakan satu pencapaian yang harus dibanggakan,” jelas beliau.

HARAPAN

Manfaat daripada program bimbingan itu bukan sahaja untuk pelajar malah bagi golongan mentor juga.

Bagi Encik Mohamad Badruddin, banyak yang telah beliau sendiri pelajari dari segi kesabaran, dedikasi dan empati.

“Walaupun program ini merupakan satu peluang untuk saya berbakti semula kepada masyarakat, saya rasa program ini telah lebih membantu saya dalam pelbagai aspek,” ujar beliau.

Beliau juga menekankan bahawa satu pelajaran yang amat penting baginya adalah kemahiran mendengar.

“Melalui pengalaman ini, saya faham akan kepentingan mendengar dan memahami pelajar.

“Hanya dengan pemahaman, saya boleh menasihati atau merujuk dengan lebih berkesan. Kalau saya tidak memahami kerisauan mereka, saya sendiri tidak boleh tolong,” tambahnya.

Beliau berharap program bimbingan itu dapat diluaskan kepada industri lain dan bukan sahaja dalam industri biofarmaseutikal.

Semoga pada masa akan datang ia dapat memberi pelajar lain ruang untuk berjinak-jinak dalam industri yang mereka minati juga, katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >