Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kembali ke S'pura untuk 'satukan' Orang Laut

Bekas pensyarah ekonomi tunai amanah arwah ayah kumpul saudara-mara di Kampung Kuchai yang digelar keturunan Orang Laut
Mar 04, 2019 | 05:30 AM



Acara memperingati 200 tahun Singapura, Bicentennial Singapura, membuka peluang untuk orang ramai menggali dan mendalami sejarah pulau ini sepanjang tempoh 500 tahun sebelum kedatangan Raffles. Antaranya, sejarah Orang Laut, orang asal Singapura yang dikatakan wujud di pulau ini sejak awal 1766. Meskipun istilah Orang Laut kini tidak lagi didengari namun ahli keturunannya yang berasal dari Kampung Kuchai di Lorong 3 Geylang masih menyimpan teguh kisah sejarah keluarga mereka. ZULAIQAH ABDUL RAHIM (zulabr@sph.com.sg) menemubual sekumpulan penduduk asal Kampung Kuchai untuk menyingkap kisah sejarah Orang Laut dan mendengar pengalaman mereka membesar di Kampung Kuchai.



BEKAS pensyarah dan jurulatih dalam jurusan ekonomi dan perniagaan antarabangsa ini hampir ingin bermastautin di Indonesia.



Namun, pesanan arwah bapanya supaya menyatukan keluarga yang pernah tinggal di Kampung Kuchai, sebuah perkampungan Melayu di kawasan Geylang, dan bahan bersejarah mengenai asal-usul Orang Laut di Singapura, merubah segala perancangan awalnya.



Pesanan dan bahan-bahan tersebut terkandung dalam fail peninggalan dan kertas tulisan tangan catatan kenangan arwah bapanya merubah segala perancangannya.



"Apabila saya pulang ke Singapura untuk menziarahi bapa saya pada 2009, beliau memberikan kepada saya satu fail merah bertajuk Riwayat Hidup Bapa yang Sabar Berfamili (Ismail Bin Ahmad)," kata Encik Mohamed Nassir Ismail memulakan cerita.



"Sebelum bapa saya meninggal pada 2010, beliau memberitahu saya bahawa fail ini adalah harta yang ingin diberikan kepada saya dan beliau pujuk saya supaya kembali tinggal di Singapura.



"Beliau berpesan kepada saya supaya kumpulkan semula saudara-mara dari Kampung Kuchai," kongsi pesara berusia 62 tahun itu, yang masih mendapat undangan mensyarah secara sambilan di universiti di Indonesia.



Menurut Encik Mohamed Nassir Ismail, setelah membongkar kandungan fail dan tulisan itu, barulah beliau menjadi tertarik akan kepentingan pesaka arwah bapanya, generasi ketiga Orang Laut di Singapura yang merupakan anak penghulu Kampung Kuchai dan pernah menolak mengambil alih tawaran jawatan tersebut.



"Apabila saya kaji kembali catatan arwah bapa saya, ia bukan hanya menjelaskan asal usul keluarga saya, bahan dari sini juga saya dapat jejak sejarah Orang Laut yang dikatakan orang asal Singapura," jelas beliau.



Ini mendorong Encik Mohamed Nassir menggali dan menjejak sejarah keluarganya yang berasal dari Kampung Kuchai dan juga digelar keturunan Orang Laut.



Menurut maklumat yang diperolehi daripada Infopedia, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Orang Laut yang mendiami Singapura ketika pendaratan Raffles pada 1819 terdiri daripada pelbagai kelompok.



Mereka termasuk Orang Laut kepulauan Riau-Lingga seperti Orang Galang, Orang Gelam, Orang Seletar, Orang Biduanda Kallang dan Orang Selat.



Setiap kelompok ini mempunyai kaitan etnik Melayu serta kecenderungan hidup di atas kapal dan bukannya di darat.



Encik Mohamed Nassir menjelaskan bahawa beliau adalah Orang Biduanda Kallang.



"Istilah Orang Laut diperkenalkan penjajah British untuk menggolongkan orang kampung berbangsa Melayu pada zaman itu.



"Ini kerana orang kampung sering dilihat berada dalam sampan atau kolek mereka untuk ke pulau-pulau berdekatan.



"Lantas, orang British fikir semua Orang Laut adalah orang yang tinggal di laut namun ini tanggapan yang salah.



"Mereka sebenarnya ada rumah di darat yang terletak di Bukit Larangan atau Fort Canning," ujar Encik Mohamed Nassir, yang kerap berulang-alik ke Indonesia untuk mengajar sebelum menetap sepenuhnya bersama keluarga beliau di sana pada 2014.



Daripada dapatannya, beliau, yang kembali menetap di Singapura kerana menuruti pesan arwah bapanya, berkata istilah Orang Laut lebih tepat menjelaskan minat orang kampung melakukan kegiatan di laut ketika itu.



Apakan tidak, sebilangan besar orang kampung menjadi nelayan, penyelam dan kelasi kapal sebagai sumber pendapatan disebabkan sekitaran kampung pada 1800 hingga 1830 yang kurang pekerjaan di darat, katanya.



Meski ada kerja pertanian, orang kampung tidak berminat bercucuk tanam, ujarnya.



"Justeru, tidak benar apa yang dikatakan oleh penjajah bahawa orang asal Singapura pada ketika itu pemalas.



"Mereka sebenarnya pintar dan rajin, tahu musim apa ada ikan, ketam dan kerang di laut dan mana arah angin akan tiup. Ini adalah kepakaran mereka," jelasnya.



Keistimewaan Orang Laut juga, terang Encik Mohamed Nassir, terletak pada kebolehan mereka menyelam selama satu hingga dua jam tanpa memerlukan tangki gas oksigen.



Selain fail dan gambar-gambar lama, Encik Mohamed Nassir turut merujuk kepada beberapa kertas kajian yang membuktikan kewujudan Orang Laut sejak abad ke-18.



Kertas kajian bertajuk The Orang Laut of Singapore and the Sampan Panjang oleh C.A. Gibson-Hill pada 1885 itu menunjukkan bahawa istilah Orang Laut yang diperkenalkan British telah wujud di kawasan Bukit Larangan dan Sungai Singapura sejak 1766.



Mereka kemudian dipindahkan oleh pihak British ke Kampong Melayu di Tanjong Rhu pada 1900.



"Ini terbukti dalam catatan arwah bapa saya yang mengatakan beliau lahir pada 19 September 1927 dan tinggal di 50-A Kampong Melayu Tanjong Rhu," kata Encik Mohamed Nassir, anak ketiga dalam keluarga lima beradik.



Namun pada 1944, menurut beliau, penduduk kampung itu dikerah berpindah sekali lagi atas sebab keperluan penjajah membina limbungan kapal perang di perairan Tanjong Rhu.



Menggunakan basikal ataupun berjalan kaki, penduduk kampung berpindah ke Kampong Kuchai di Lorong 3 Geylang, katanya. Kawasan kampung itu kini terletak di Upper Boon Keng Road.



"Datuk saya yang mencari kawasan tanah untuk membangunkan Kampung Kuchai, sebab itu orang kampung menggelar beliau peneroka," kata cucu ketua Kampung Kuchai itu dengan penuh bangga.



Pada 1976, masyarakat di Kampung Kuchai berpecah setelah kampung itu dirobohkan.



"Atas pesan yang diamanahkan arwah bapa saya, menjadi tanggungjawab saya kini menyatukan dan menjalinkan semula silaturahim antara anak-anak Kampong Kuchai.



Kini, menerusi halaman Facebook Anak-anak Kampung Kuchai Lorong 3 Geylang, saya sudah mengumpulkan hampir 400 penduduk asal serta keturunan mereka dan mengadakan acara perhimpunan besar sejak 2016," tambahnya lagi.



Encik Mohamed Nassir telah menghasilkan sebuah buku, Anak Permata Negara, Kampong Kuchai Singapura, yang mendokumentasi perjalanan hidupnya.




SUSUR SEJARAH ORANG LAUT, PENDUDUK ASAL SINGAPURA



- MENURUT maklumat daripada Infopedia, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Orang Laut yang mendiami Singapura ketika pendaratan Raffles pada 1819 terdiri daripada pelbagai kelompok.



Mereka termasuk Orang Laut Kepulauan Riau-Lingga seperti Orang Galang, Orang Gelam, Orang Seletar, Orang Biduanda Kallang dan Orang Selat.



- Setiap kelompok ini mempunyai kaitan etnik Melayu serta kecenderungan hidup di atas kapal dan bukan di darat.



- Orang Laut keturunan Orang Biduanda Kallang tinggal di kawasan Bukit Larangan - sekarang dipanggil Fort Canning - dan Sungai Singapura seawal 1766.



- Istilah Orang Laut digunakan penjajah British untuk menggambarkan orang kampung bangsa Melayu di abad ke-18 yang tinggal di laut.



- Tidak seperti apa yang penjajah fikirkan, terdapat kelompok Orang Laut yang mempunyai rumah di darat di kawasan Bukit Larangan dan hanya meminati kegiatan di laut.



- Rata-rata pekerjaan Orang Laut adalah nelayan, penyelam dan kelasi.



- Keistimewaan Orang Laut termasuk peka akan musim makanan laut iaitu bila terdapat banyak ikan, udang, ketam dan sebagainya, arah tiupan angin di laut dan menyelam dalam air tanpa memerlukan tangki gas oksigen untuk satu tempoh yang lama.



- Pada 1900, Orang Laut dipindahkan dari Sungai Singapura ke Kampong Melayu di Tanjung Rhu.



- Pada 1944, Orang Laut dikerah oleh penjajah supaya berpindah dari Tanjung Rhu ke Kampong Kuchai di Lorong 3 Geylang apabila kawasan tersebut ingin dijadikan limbungan kapal-kapal perang oleh penjajah.



- Pada 1976, Kampong Kuchai dirobohkan dan penduduknya berpecah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >