Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kembar jadi isteri dua beradik

Nov 24, 2019 | 05:30 AM



MUNGKIN ia sekadar satu kebetulan, tetapi beberapa kali apabila ibu Encik Muhammad Haniff Buang memecahkan telur, pasti beliau akan mendapat dua kuning telur dalam sebiji telur.



Tanpa disangka, ia seakan satu petanda bahawa rupa-rupanya ibunya itu bakal menerima menantu kembar.



Hujung minggu lalu, Encik Haniff, 30 tahun, telah diijabkabulkan dengan Cik Hazwani Mahat, 31 tahun.



Pada majlis yang sama juga, abang Encik Haniff, Encik Muhammad Khairul, 32 tahun, sah menjadi suami kepada adik kembar Cik Hazwani - Cik Hazimah Mahat, 31 tahun.



Pernikahan mereka telah diadakan pada Jumaat, manakala majlis sebelah pengantin lelaki pada Sabtu di Orange Ballroom dan majlis sebelah pengantin perempuan pada Ahad di kolong blok rumah ibu bapa pengantin perempuan di Jurong.



"Memang ramai yang terkejut tapi rata-ratanya mereka gembira kita semua telah bertemu jodoh," kata Encik Haniff, anak bongsu tiga beradik yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan.



Menceritakan tentang pertemuan mereka, Encik Haniff berkata beliau sudah lama mengenali isterinya, sejak di Politeknik Republic pada 2009.



Tetapi mereka hanya mula menjalinkan hubungan semula baru-baru ini melalui media sosial.



Selang sebulan selepas berjumpa, Encik Haniff melahirkan rasa khuatirnya mengenai abang keduanya yang masih belum bertemu jodoh.



Cik Hazwani kemudian menyarankan sekiranya abang Encik Haniff ingin berkenalan dengan adik kembarnya.



"Sikap mereka berdua sama. Kedua-dua belum pernah mempunyai pacar dan pemalu orangnya. Jadi okey jugalah kalau kita 'jalankan'," kata konsultan ini.



Tanpa disangka, adik kembarnya selesa dengan Encik Khairul sehingga bersedia untuk ke jenjang pelamin.



Namun, kata Cik Hazwani, yang lucunya, beliau kakak tetapi mengahwini si adik, dan adik kembarnya pula mengahwini si abang.



"Takpelah saya rasa saya panggil abang ipar saya, 'abang' sahajalah," katanya sambil tertawa.



Mengenai keputusan mengadakan majlis walimah bersama, adik kembarnya, Cik Hazimah berkata banyak yang boleh dijimatkan sekiranya majlis diadakan serentak.



"Walaupun kami kembar, keinginan untuk majlis perkahwinan memang berlainan, tetapi sebagai kembar, memang sudah biasa untuk kami bertolak ansur," katanya yang juga bekerja sebagai konsultan di tempat yang sama bersama kakaknya.



Suaminya, Encik Khairul, seorang pegawai teknikal berkata beliau tidak berasa janggal mengahwini kembar tetapi akur ada kalanya agak "mengelirukan."



"Pernah sekali, saya tertegur kakaknya sebab kalau dari belakang, memang mereka berdua nampak sama. Rambut ikat sama gaya, baju sama, semuanya sama.



"Cuma bila pusing baru tahu perbezaan, itupun daripada kedudukan tahi lalat!



"Isteri saya tahi lalat di dagu, kakaknya di pipi," katanya sambil tertawa.



Mereka berbulan madu di negara berlainan - satu ke Korea Selatan, dan satu lagi ke Jepun.




"Walaupun kami kembar, keinginan untuk majlis perkahwinan memang berlainan, tetapi sebagai kembar, memang sudah biasa untuk kami bertolak ansur."
- Cik Hazimah




"Pernah sekali, saya tertegur kakaknya sebab kalau dari belakang, memang mereka berdua nampak sama. Rambut ikat sama gaya, baju sama, semuanya sama.

"Cuma bila pusing baru tahu perbezaan, itupun daripada kedudukan tahi lalat!

"Isteri saya tahi lalat di dagu, kakaknya di pipi.''

- Encik Khairul




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >