Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kempen perangi dadah gesa masyarakat 'ambil peduli'

Ajak masyarakat layari "perjalanan ambil berat tentang satu sama lain" dalam isu penyalahgunaan dadah: Faishal
Jun 25, 2022 | 05:30 AM



KEMPEN Dadah Itu Haram (DIH) melancarkan mesej barunya semalam, yang menggesa seluruh masyarakat supaya menyokong usaha mencegah penyalahgunaan dadah.



Mesej baru - Ambil Peduli Hadir Di Sisi - akan menggantikan mesej terdahulunya, Muslim Sejati Jauhi Dadah.



Sepanduk mengandungi mesej baru tersebut akan disediakan di semua 71 masjid di sini, kata penganjur Biro Narkotik Pusat (CNB).



Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, bersama Pengurus Besar Kelompok Masjid Bahagian Utara, Encik Yacob Ahmad, merasmikan sepanduk baru itu dalam satu acara di Masjid Darul Makmur, di Yishun, semalam.



Majlis pelancaran itu diadakan sempena tarikh Hari Pembanterasan Penyalahgunaan dan Penyeludupan Dadah yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 26 Jun 1987.



Menurut Dr Faishal, selain berkongsi tentang kesan bahaya dadah, kempen DIH yang dilancarkan sejak lima tahun lalu itu mahu mengajak masyarakat melayari "perjalanan mengambil berat tentang satu sama lain" dalam isu penyalahgunaan dadah.



"Ini (mesej baru DIH) sebahagian usaha campur tangan peringkat awal... bagi mereka yang belum pernah terjebak dalam kancah dadah, kami tunjukkan bahawa kami peduli dan sentiasa memerhatikan satu sama lain supaya dapat melibatkan diri dalam kegiatan sihat," tambahnya.



Sementara mesej utama DIH kekal penting bahawa penyalahgunaan dadah satu tabiat yang merosakkan hidup, mesej baru pula memaparkan apa yang harus dilakukan masyarakat untuk menanganinya, kata Dr Faishal lagi.



Baru-baru ini juga, Dr Faishal menetapkan matlamat bagi mengurangkan kadar bentan lima tahun di sini yang memerlukan kerjasama seluruh masyarakat dengan menawarkan sokongan kepada bekas pesalah yang sedang dalam proses pemulihan.



Encik Yacob pula berkata sudah tiba masanya mesej DIH beralih daripada usaha mencegah dadah "dari sudut individu kepada orang di sekeliling juga, dengan seluruh masyarakat memainkan peranan."



Lebih banyak tumpuan dari pihak masjid akan juga diberikan kepada usaha mencegah dadah dalam kalangan belia, tambah beliau lagi.



"Masalah penyalahgunaan dadah sekarang semakin mencabar, sebab terdapat cara inovatif (yang diguna pembekal) untuk menarik penagih baru. Norma dan cara hidup masyarakat kian berkembang, jadi kami harus sama-sama mencari huraian dalam isu ini," katanya.



Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohd Rais, pula berkata beliau menyambut baik mesej baru DIH dipaparkan di semua masjid di sini.



"Masjid sebagai salah satu nadi masyarakat merupakan fokus utama masyarakat. Jadi kami harus menjadi wadah untuk menyampaikan mesej ini kepada mereka," katanya.



Selain berbuat demikian menerusi relawan masjid dan kuliah, Masjid Darul Makmur juga aktif mendekati masyarakat menerusi program tertentu seperti kunjungan rumah ke rumah, mengaji di kolong blok, di samping pendekatan bersama rangkaian belia, jelas Encik Izuan.



Laporan lanjut: Relawan sebar mesej cegah dadah, tingkat kesedaran




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >