Kemudahan baru untuk pesakit jalani konsultasi melalui video

ENAM institusi penjagaan kesihatan awam hari ini melancarkan satu kemudahan baru yang membolehkan pesakit mendapatkan khidmat konsultasi menerusi video.

Menerusi kemudahan itu pesakit antara lain boleh menerima khidmat konsultasi lanjutan, sekali gus menjimatkan masa dan tenaga mereka daripada mengunjungi hospital.

Ia juga memberi akses kepada pesakit untuk mengadakan lebih banyak konsultasi dengan doktor.

Ujian memanfaatkan konsultasi menerusi video itu pernah dijalankan secara ad hoc sepanjang beberapa tahun lalu, tetapi pelancarannya hari ini merupakan satu usaha bersama di kalangan institusi-institusi yang berbeza itu, lapor The Straits Times.

Pesakit yang dapat memanfaatkan sistem baru itu, termasuk mereka yang mempunyai penyakit seperti ekzema, penyakit berjangkit, atau mereka yang memerlukan penjagaan selepas diserang strok dan terapi percakapan.

Pelancaran sistem video itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kesihatan Bijak (Smart Health) di bawah usaha Negara Bijak yang diterajui Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu (iHis).

iHis merupakan agensi teknologi nasional bagi sektor penjagaan kesihatan.

"Kami melihat teknologi tele-kesihatan ini sebagai peluang untuk menyediakan khidmat lebih baik kepada pesakit, menyokong kerjasama antara karyawan penjagaan kesihatan di pelbagai lokasi, dan meningkatkan keseluruhan produktiviti sistem kami," kata Encik Bruce Liang, ketua eksekutif iHis dan ketua pegawai maklumat Kementerian Kesihatan (MOH).

Di bawah sistem baru itu, pesakit hanya perlu log masuk menggunakan telefon bijak atau komputer. - ST.