Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kenaikan cukai karbon boleh tingkatkan kos hidup isi rumah: Pengamat

Feb 24, 2022 | 05:30 AM



KENAIKAN cukai karbon akan datang mungkin menyebabkan kos kehidupan meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.



Ini terutama sekali jika perniagaan memutuskan untuk meningkatkan kos bagi pengguna dan pelanggan untuk membiayai kos operasi yang semakin meningkat dalam peralihan mereka supaya lebih mesra alam, menurut pakar.



Felo penyelidik kanan dan ketua jabatan ekonomi tenaga di Institut Penyelidikan Tenaga Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr David Broadstock, berkata gas semula jadi membentuk sekitar 95 peratus daripada bahan bakar dalam menjana tenaga dan kerana karbon dihasilkan dengan membakar bahan tersebut, warga Singapura boleh menjangkakan kenaikan cukai karbon secara bertahap itu terlihat dalam harga elektrik mereka, lapor The Straits Times.



Meski demikian, semakan terhadap cukai karbon akan ditambah kepada kos asas utiliti, yang juga bergantung pada kos bahan api.



Oleh itu, walaupun Singapura telah menyaksikan kenaikan tarif elektrik berterusan, ia tidak bermakna harga tarif tidak akan turun atau menunjukkan bahawa kesan cukai karbon akan menyebabkan perubahan secara tiba-tiba.



Dr Broadstock berkata kenaikan harga karbon mungkin menyebabkan syarikat menaikkan harga barangan dan khidmat mereka dan isi rumah mungkin menghadapi kesan cukai karbon itu, secara langsung atau tidak.



"Seperti kenaikan kos kehidupan lain, golongan yang akan merasakan kesannya tentu sekali isi rumah berpendapatan rendah atau pertengahan.



"Kesan pengagihan harga karbon (termasuk cukai) merupakan sesuatu yang memerlukan pemahaman dan perancangan," katanya.



Dalam Belanjawan tahun ini, Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata cukai karbon akan dinaikkan dari kadar sedia ada $5 setiap ton pelepasan, ke $25 pada 2024 dan 2025, $45 pada 2026 sebelum dinaikkan ke $50 hingga $80 pada 2030.



Cukai karbon Singapura dikenakan kepada semua prasarana yang menghasilkan lebih 25,000 ton pelepasan gas rumah hijau setiap tahun.



Ini meliputi 30 hingga 40 entiti seperti kilang penapisan minyak dan loji penjanaan kuasa yang menyumbang lebih 80 peratus pelepasan gas rumah hijau di Singapura.



Menurut Encik Wong, cukai karbon $25 setiap ton pelepasan karbon mungkin menaikkan bil utiliti $4 setiap bulan bagi isi rumah unit HDB empat bilik.



Untuk membantu isi rumah, rebat U-Save tambahan akan diberikan kepada mereka semasa tempoh peralihan ini.



Dalam satu kenyataan Jumaat lalu, Sekretariat Perubahan Iklim Nasional berkata isi rumah digalak mengamalkan kebiasaan jimat tenaga dan beralih kepada peralatan jimat tenaga untuk mengurangkan kesan kos yang meningkat.



Isi rumah layak, termasuk mereka yang menetap dalam unit flat HDB satu, dua atau tiga bilik boleh memanfaatkan Program Isi Rumah Mesra Iklim untuk beralih kepada peralatan yang lebih jimat air atau tenaga, katanya.



Menurut profesor di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew NUS, Profesor Vinod Thomas, kenaikan $4 bagi bil utiliti setiap bulan dengan cukai karbon $25 satu ton, tidak akan terus meningkat dengan kenaikan selanjutnya dalam cukai karbon.



"Dengan cukai yang dikenakan, industri tempat berlakunya pelepasan karbon akan cuba mengurangkan pelepasan mereka untuk berjimat, dan dengan itu kos yang dikenakan terhadap pengguna juga kurang.



"Kedua, apabila kita mengenakan cukai terhadap karbon, contohnya bagi gas semula jadi, bermakna solar, yang merupakan sumber lagi bersih, akan menjadi lebih menarik sebagai pilihan," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >