KENAIKAN gaji kelayakan minimum bagi pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S tidak bermakna pekerja asing akan secara automatik meraih gaji lebih tinggi hingga menjejas pekerja Singapura, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Beliau berkata demikian bagi menjawab keprihatinan beberapa pihak tentang kenaikan gaji minimum untuk EP dan Pas S yang diumum sebelum ini.
Mulai September, gaji kelayakan minimum bagi pemohon EP baru akan dinaikkan daripada $4,500 kepada $5,000, dan bagi pemohon Pas S baru ia dinaikkan daripada $2,500 kepada $3,000.
Bagi EP dan Pas S yang diperbaharui, kenaikan itu akan berkuat kuasa mulai September 2023, atau lebih lewat dari itu, bergantung bila pas tersebut perlu diperbaharui.
"Syarikat akan mempunyai masa untuk memikirkan pilihan alternatif, contohnya, dengan mencari atau melatih seorang lagi pekerja tempatan.
"Ini lebih-lebih lagi jika warga asing itu tidak mempunyai nilai yang mencukupi untuk mewajarkan kenaikan gaji.
"Perniagaan akhirnya didorong keuntungan, dan tidak akan menaikan kos secara membuta," kata Dr Tan.
Jika majikan menaikkan gaji pekerja asing secara tidak adil, tanpa menyemak gaji pekerja tempatan, pekerja boleh mengadu kepada Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan yang Adil dan Progresif (Tafep), kata Dr Tan.
Jika pemerintah membiarkan sahaja gaji kelayakan minimum Pas S sebanyak $2,500, gaji pekerja akan mendatar, ujar Dr Tan.
Sementara itu, menaikkan levi Pas S sahaja tidak akan membezakan antara syarikat lebih produktif dan kurang produktif. Oleh itu, tiada huraian sempurna, kata beliau.
Justeru, pemerintah memutuskan menaikkan kededuanya, gaji kelayakan minimum dan levi pekerja asing.
Dr Tan akur perubahan ke atas rangka kerja Pas S bukan ringan, "tetapi kami perlu melakukan apa yang sukar sekarang, untuk membina ekonomi lebih kukuh dan inklusif untuk semua".
"Dengan perubahan pada Pas S, perniagaan yang bergantung pada pemegang Pas S berkos rendah perlu membuat penyesuaian.
"Mereka perlu meningkatkan gaji dan keadaan bagi pekerjaan ini. Dengan ini, mereka akan berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk menarik penduduk tempatan," ujar Dr Tan.
"Syarikat akan mempunyai masa untuk memikirkan pilihan alternatif, contohnya, dengan mencari atau melatih seorang lagi pekerja tempatan. Ini lebih-lebih lagi jika warga asing itu tidak mempunyai nilai yang mencukupi untuk mewajarkan kenaikan gaji."
- Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.