Kenangan manis berpuasa, sambut Raya di Makkah dan Madinah

BAGI Ustazah Munirah Badekruzaman, 29 tahun, kesempatan menunaikan umrah, berpuasa dan menyambut Aidilfitri di Makkah dan Madinah pastinya menjadi kenangan manis buat diri dan keluarganya.

Menurutnya, inilah pengalaman pertamanya berpuasa, bertarawih, qiamullail dan menyambut Hari Raya di sana, dengan ditemani suami, Encik Muhammad Firdaus Amir, 30 tahun, seorang guru, dan ibunya, Cik Asmariyah Rashid, seorang penjawat awam.

Mereka berada di sana selama dua minggu, bermula 10 Ramadan terakhir di Makkah dan berangkat ke Madinah selepas solat Raya dan menetap empat hari di sana.

Walaupun akur cuaca pada Jun sangat panas, Ustazah Munirah tawakal dan bertekad ingin menikmati suasana Ramadan di sana seperti yang diidamkan.

Mereka mengikut pakej Umrah Akhir Ramadan kelolaan TM Fouzy Travel & Tours. Pakej ini termasuk ziarah tempat bersejarah seperti Hudaibiyah, Jabal Rahmah, Masjid Namirah, Muzdalifah, Masjid Khaif, Masjid Quba', Jabal Uhud dan banyak lagi.

"Selain itu, faktor utama yang membuat kami sekeluarga ingin menyambut Ramadan dan Hari Raya di Makkah dan Madinah adalah melihat Kaabah dan mendapat umrah yang dianggap seperti berhaji bersama Rasulullah saw.

"Walaupun ramai yang mengatakan cuaca di Makkah pada bulan puasa sangat panas, kami selalu berharap agar Allah swt mempermudah segala urusan kami kerana kami sudah lama mengimpikan mahu ke Masjidil Haram, apatah lagi pada akhir Ramadan.

"Salah satu perkara yang menakjubkan di Makkah ketika cuaca sangat panas adalah ramai penduduk menyembur air di serata tempat agar jemaah tidak terasa kepanasan, namun apabila kami menjejakkan kaki di Masjidil Haram, tiada bahang dan keterikan matahari yang dirasakan walaupun semasa bertawaf.

"Pengalaman berpuasa di Makkah ini sungguh menakjubkan! Subhanallah, semuanya sungguh sempurna dari segi suasana, ibadah dan pemakanan," ujar Pengetua di Madrasah aLIVE di Masjid Al-Muttaqin itu.

Ustazah Munirah menceritakan, jika di bazar di Geylang sesak dengan orang ramai membeli barangan Raya, penduduk di Makkah sibuk mengejar ibadah dan tidak sekali pun Masjidil Haram lengang kerana jemaah ingin mendapat pahala lailatulqadar.

"Tujuan kami ke sana juga untuk mencari lailatulqadar.

"Pengalaman berbuka puasa di Makkah berbeza daripada di Madinah. Di Masjidil Haram hanya kurma dan air zamzam disajikan manakala di Madinah jemaah diberikan air, kurma, roti dan sebagainya.

"Malam hari di Makkah begitu indah dan meriah, dipenuhi manusia dan setiap penjuru dan kaki lima pasti ada tempat solat," ujarnya.

Menyentuh kesesakan di tempat bertawaf dan persekitaran Masjidil Haram pada Ramadan, Ustazah Munirah menjelaskan:

"Walaupun ramai orang bertawaf seperti yang kita lihat di kaca televisyen atau Facebook, kenyataannya kami tidak terasa sempit ataupun sesak malah kami tetap dapat menjalankan tawaf dalam keadaan cukup tenang," ceritanya lagi.